
Jawatankuasa yang dipengerusikan Setiausaha Agung GRS Masidi Manjun merangkap timbalan presiden Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), akan turut berbincang dengan parti lain yang membentuk kerajaan negeri ketika ini, terutama Pakatan Harapan.
Hajiji, yang juga presiden Gagasan Rakyat, berkata walaupun perbincangan itu dilakukan bersama rakan parti dalam kerajaan negeri, ini tidak bermakna GRS menutup pintu kepada pihak lain, malah gabungan tersebut sentiasa terbuka selagi ia memberi kebaikan buat Sabah serta rakyatnya.
“Kita fokuskan dahulu kepada perbincangan dengan rakan kita di dalam kerajaan (negeri),” katanya menurut Bernama selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi Gagasan Rakyat, di Kota Kinabalu.
Mengulas mengenai pembahagian kerusi dalam kalangan komponen GRS dan rakan kerjasamanya, beliau berkata buat masa ini tiada tarikh spesifik bagi membincangkan perkara itu.
Parti komponen GRS terdiri daripada Gagasan Rakyat, Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Parti Liberal Demokratik (LDP), dan Presiden Parti Cinta Sabah (PCS).
Menyentuh mengenai mesyuarat, Hajiji berkata ia sebagai persiapan menjelang Persidangan Agung Tahunan parti itu yang akan berlangsung di Kota Kinabalu selama tiga hari bermula Jumaat ini dengan jangkaan kehadiran lebih 6,000 perwakilan dan pemerhati.
Beliau berkata, persidangan itu akan membahaskan ucapan dasar presiden serta usul mengenai beberapa aspek antaranya ekonomi dan pendidikan.
Selain itu, Hajiji berkata Gagasan Rakyat setakat ini mempunyai 6,977 cawangan dengan 304,817 ahli yang akan digerakkan untuk berkhidmat kepada rakyat terutama menjelang PRN Sabah.
“Semua parti komponen GRS akan mempersiapkan diri bagi menghadapi pilihan raya yang bakal diadakan selewat-lewatnya pada Oktober tahun depan,” katanya.