Anak muda Kelantan sanggup rentas sempadan tak sah kunjungi kelab malam

Anak muda Kelantan sanggup rentas sempadan tak sah kunjungi kelab malam

Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat berkata kunjungan golongan itu ke pusat hiburan Thailand begitu ramai pada Jumaat dan Sabtu.

Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat, berkata anak muda Kelantan ramai ke kelab malam negara jiran sehingga terpaksa menunggu syif untuk masuk. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Polis mengakui ramai penduduk Kelantan termasuk anak muda berusia belasan tahun sanggup mengambil risiko merentas sempadan dan menggunakan laluan tidak sah bagi memasuki Thailand semata-mata untuk berhibur pada hujung minggu.

Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat, berkata mereka biasanya bertindak memarkir kenderaan di Rantau Panjang sebelum menyeberangi Sungai Golok untuk ke Thailand, berbanding menggunakan laluan sah Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS).

“Perkara ini dimaklumkan sendiri oleh rakan sejawat saya di Thailand yang memaklumkan kunjungan rakyat Malaysia dalam kalangan anak muda begitu ramai terutama pada hari minggu iaitu Jumaat dan Sabtu untuk ke kelab malam sehingga terpaksa menunggu syif untuk masuk ke pusat hiburan itu.

“Kebanyakan mereka akan ke Thailand pada petang Khamis sebelum pulang semula ke Kelantan pada Sabtu,” katanya menurut Bernama di Kota Bharu.

Beliau berkata, isu berhubung kunjungan anak muda Kelantan ke kelab malam di Golok itu juga baru dibincangkan bersama Menteri Besar Mohd Nassuruddin Daud.

Yusoff juga berkata, bagi menyekat sepenuhnya perbuatan itu, pihaknya hanya memiliki kuasa terbatas.

“Jika undang-undang di negara kita, warga asing yang masuk secara haram kita akan tangkap di bawah Akta Imigresen,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.