Ahli perniagaan, 2 lelaki Vietnam didakwa culik tuntut tebusan RM20 juta

Ahli perniagaan, 2 lelaki Vietnam didakwa culik tuntut tebusan RM20 juta

Chong Shih Ming mengaku tidak bersalah manakala tiada pengakuan daripada Luong Van Tung dan Tran Van Chung kerana tidak faham pertuduhan dibacakan.

gavel
Ahli perniagaan Chong Shih Ming bersama dua warga Vietnam Luong Van Tung dan Tran Van Chung dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan menculik bagi menuntut tebusan RM20 juta. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Seorang ahli perniagaan bersama dua lelaki warga Vietnam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas pertuduhan menculik bagi menuntut wang tebusan RM20 juta, bulan lalu.

Chong Shih Ming, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Manakala dua warga Vietnam, Luong Van Tung, 39 dan Tran Van Chung, 29, tidak membuat sebarang pengakuan kerana tidak memahami pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Melayu, lapor Berita Harian.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka bersama-sama seorang lagi yang masih bebas didakwa meneruskan niat bersama menculik seorang lelaki berusia 59 tahun dengan tujuan menuntut wang tebusan sebanyak RM20 juta di Jalan Straits View kira-kira 5 pagi, 13 Okt lalu.

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1960 (Akta 365) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 40 tahun dan dengan sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya S Thiviya tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kes dihadapi tertuduh tidak boleh dijamin.

Beliau bagaimanapun mencadangkan jumlah jaminan yang tinggi iaitu RM30,000 sekiranya mahkamah ingin mempertimbangkan untuk membenarkan ikat jamin dan disertakan dengan tiga syarat tambahan.

Bagi dua tertuduh warga asing yang tidak diwakili peguam itu, pendakwaan memohon untuk memanggil jurubahasa Vietnam bagi membolehkan pertuduhan dibacakan dan pengakuan direkodkan.

Sementara itu, Chong yang diwakili peguam K Veeranesh memohon mahkamah membenarkan ikat jamin dengan jumlah minimum.

Mahkamah kemudiannya membenarkan dia diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan lapor diri di balai polis sebulan sekali, pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah dan dilarang mengganggu saksi dan mangsa.

Bagi Luong dan Tran, mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan sehingga 17 Nov ini apabila pertuduhan dibacakan semula oleh jurubahasa Vietnam.

Mahkamah turut menetapkan tarikh sama untuk sebutan semula kes Shih Ming bagi serahan dokumen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.