
Dalam kejadian kira-kira 5.20 pagi tadi, Mohd Azrul Shah Abraham, 31, yang juga penumpang hadapan Isuzu Dmax membawa muatan ikan, cedera parah manakala pemandu kenderaan itu hanya cedera ringan.
Ketua Polis Tawau Jasmin Hussin berkata, mangsa bersama pemandu kereta itu dalam perjalanan dari Jalan Apas menuju Pasar Ikan Tawau dengan membawa muatan pelbagai jenis ikan dipercayai seberat 1.5 tan.
Katanya, apabila tiba di tempat kejadian, pemandu dikatakan gagal mengawal kenderaan lalu terbabas ke kiri jalan dan melanggar besi penghadang jambatan sebelum terjunam ke sungai.
Pemandu kenderaan itu diselamatkan oleh orang awam, manakala mangsa yang tersepit dan cedera parah dikeluarkan bomba sebelum kedua-duanya dibawa ke hospital menggunakan ambulans.
Mohd Azrul disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Zon Merah Hospital Tawau.
“Pemandu berumur 31 tahun itu ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu dengan melulu atau membahayakan sehingga menyebabkan kematian,” kata Jasmin, lapor Berita Harian.