
Menurut sumber, SPRM telah memanggil tiga individu untuk membantu siasatan dan mendapatkan maklumat berhubung isu itu, serta telah memperoleh beberapa dokumen berkaitan kes berkenaan.
“Fokus siasatan SPRM tertumpu kepada isu rasuah serta penggunaan dokumen-dokumen yang dipercayai palsu, bagi tujuan pindah milik tanah itu. SPRM telah mengenal pasti individu serta agensi yang disyaki terlibat dan akan memanggil semuanya dalam masa terdekat,” kata sumber itu.
Sementara itu Pengarah SPRM Kedah Ahmad Nizam Ismail mengesahkan bahawa siasatan berhubung kes itu dijalankan di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Beliau bagaimanapun berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu berkenaan, sehingga siasatan selesai.
Sebelum ini, tular video memaparkan seorang wanita mendakwa berlaku pemalsuan membabitkan dokumen perintah mahkamah berkaitan urusan sewa tanah milik penduduk tempatan dikenali sebagai “Abu Ismail” di Kuala Kedah.
Tanah tersebut dikatakan disewa sejak 10 tahun lalu, namun pengadu menafikan ada menyewakan tanah berkenaan kepada mana-mana pihak, selain mendakwa perjanjian sewaan turut dipalsukan.