PRN Sabah ‘makmal’ uji kerjasama PH-BN, kata Zahid

PRN Sabah ‘makmal’ uji kerjasama PH-BN, kata Zahid

Pengerusi BN berkata PRN Sabah penting untuk menilai persefahaman bagi menghadapi pilihan raya umum seterusnya.

Zahid Hamidi berkata BN tidak akan menutup pintu rundingan dengan gabungan lain untuk meneruskan kerjasama. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
PRN Sabah ke-17 tahun depan bakal menjadi ‘makmal’ untuk menguji kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), kata Zahid Hamidi.

Pengerusi BN berkata, PRN Sabah penting untuk menilai persefahaman bagi menghadapi pilihan raya umum seterusnya.

Katanya, kerjasama PH dan BN menjadi asas kepada pembentukan kerajaan perpaduan dan sewajarnya diteruskan bagi menjamin kestabilan politik.

“Bagi meneruskan kerjasama itu PH dan BN, kita akan terjemahkannya dalam pilihan raya Sabah dahulu.

“Selepas itu, formula sama akan kita gunakan untuk bekerjasama dengan lain-lain parti gabungan,” kata timbalan perdana menteri dalam sidang media selepas menghadiri taklimat pelaksanaan Projek Pembangunan Negeri Sarawak di Kuching, menurut Berita Harian.

Zahid yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah mengulas kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, semalam, yang mahu kerjasama PH dan BN wajar diteruskan pada pilihan raya akan datang berikutan kestabilan politik dinikmati negara ketika ini.

Anwar dilaporkan berkata, dalam situasi sekarang sukar untuk mana-mana parti politik menguasai majoriti selesa dan Malaysia sejak dua tahun lalu dianggap antara negara paling stabil di rantau ini.

Zahid berkata, BN juga tidak akan menutup pintu rundingan dengan gabungan lain untuk meneruskan kerjasama.

“Tetapi kita tidak akan membuka pintu terlalu luas, sebaliknya hanya akan mengadakan perundingan antara kepemimpinan semua parti gabungan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai logo akan digunakan gabungan PH dan BN pada pilihan raya akan datang, Zahid berkata persetujuan sudah dicapai untuk menggunakan logo masing-masing.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.