
Presiden MEF, Syed Hussain Syed Husman, berkata mengambil cuti kesihatan mental mungkin tidak dapat mengurangkan masalah pekerja secara berkesan, jika punca masalah mereka disebabkan faktor di luar tempat kerja.
Katanya, tempat kerja yang menyediakan sokongan sosial kukuh, persekitaran kerja positif, kepuasan pekerja dan sokongan rakan sebaya akan lebih bermanfaat buat individu menghadapi masalah kesihatan mental berbanding cuti kesihatan mental.
Cadangan cuti sakit mental dikemukakan seorang perunding sumber manusia pada 26 Okt lalu. Beliau mencadangkan cuti kesihatan mental mandatori atau cuti tekanan disenaraikan dalam semakan Akta Pekerjaan 1955, sama seperti peruntukan cuti sakit.
Syed Hussain memberitahu FMT, punca cabaran kesihatan mental mungkin sukar ditentukan dan MEF percaya majikan mempunyai tanggungjawab mewujudkan persekitaran kerja yang meminimumkan tekanan berlebihan serta risiko kesihatan mental.
Beliau menyarankan latihan untuk majikan dan pekerja, serta bimbingan pihak berkuasa sebelum sebarang dasar kesihatan mental dilaksanakan. Kegagalan berbuat demikian akan berisiko menjadikan dasar sedemikian tidak berkesan.
Seorang lagi pemimpin perniagaan, William Ng, berkata majikan perlu digalak menawarkan cuti kesihatan mental berbayar, tetapi mengikut budi bicara sendiri.
“Syarikat perlu membangunkan dasar sendiri untuk menangani cabaran kesihatan mental,” kata pengerusi Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana itu.
“Cuti kesihatan mental boleh dijadikan sebahagian cuti sakit sedia ada dan keperluan untuk pekerja kerap mengambil cuti kesihatan mental berunding dengan profesional kesihatan mental.”