Pegawai kadet UPNM diminta gosok baju senior sebelum ditekap seterika

Pegawai kadet UPNM diminta gosok baju senior sebelum ditekap seterika

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata mangsa berusia 20 tahun membuat laporan pada 8.23 malam tadi.

razarudin husain
Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata kejadian buli itu berlaku pada 11.45 malam 22 Okt lalu di bilik asrama UPNM, dengan beberapa senior turut berada di tempat kejadian.
PETALING JAYA:
Pegawai kadet yang dibuli senior di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) diminta menggosok baju sebelum ditekap seterika, kata Ketua Polis Negara, Razarudin Husain berdasarkan laporan mangsa berusia 20 tahun.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan selepas polis menerima laporan mangsa pada 8.23 malam tadi.

Menurutnya, kejadian berlaku pada 11.45 malam 22 Okt lalu di bilik asrama UPNM.

“Pada hari kejadian, pelajar senior yang juga pegawai kadet tahun empat meminta mangsa menggosok baju kerjanya.

“Tiba-tiba, pelajar senior berusia 22 tahun itu mengambil seterika dipegang pengadu, sebelum menekap di bahagian dada kanan (mangsa) sebanyak satu kali,” katanya menurut Harian Metro.

Razarudin berkata, mangsa yang terkejut kemudian menjerit kesakitan akibat melecur.

“Ketika kejadian, terdapat beberapa senior dalam bilik berkenaan,” katanya sambil menambah mangsa diminta menerima rawatan di hospital bagi mengesahkan jenis kecederaan dialaminya.

Terdahulu, Angkatan Tentera Malaysia dalam kenyataan berkata, ia sedang menyiasat dakwaan itu dan berjanji akan mengambil tindakan disiplin atau undang-undang terhadap individu bertanggungjawab.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.