Lesen media sosial: Kerajaan tak boleh ‘tempang’ runding dengan syarikat gergasi

Lesen media sosial: Kerajaan tak boleh ‘tempang’ runding dengan syarikat gergasi

NGO pengguna siber berkata semua pemegang taruh perlu menyokong ketegasan kerajaan supaya pelesenan media sosial wajib bermula 1 Jan depan.

social media
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata isu keselamatan rakyat terutama kanak-kanak dan keluarga di media sosial yang semakin berleluasa tidak boleh dikompromi.
PETALING JAYA:
Kerajaan perlu mendapat sokongan semua pemegang taruh sebelum berunding dengan ‘syarikat gergasi’ untuk menegaskan pelesenan media sosial tetap dikuat kuasa mulai 1 Jan tahun depan.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia, Siraj Jalil, berkata pihaknya memahami ketegasan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil bahawa kerajaan tidak boleh memberikan lebih masa dalam usaha menangani jenayah.

“Kita sokong penuh kerana pelbagai jenis jenayah termasuk penipuan, pornografi, penyebaran fitnah dan berita palsu.

“Tetapi (untuk) kerajaan berunding dengan syarikat gergasi dunia, perlu ada sokongan komuniti masyarakat, pegawai kerajaan dan pihak swasta. Tidak boleh hanya kerajaan sahaja bersuara,” katanya kepada FMT.

“Tanpa sokongan itu, kerajaan dilihat ‘tempang’.”

Kelmarin, Fahmi berkata isu keselamatan rakyat, terutama kanak-kanak dan keluarga di media sosial yang semakin berleluasa tidak boleh dikompromi sehingga kerajaan memberi lebih masa untuk pelesenan.

Menurutnya, dalam pertemuannya dengan Meta, organisasi itu meminta lebih banyak masa untuk membanteras kumpulan terbabit pedofilia dan aktiviti penipuan di akaun media sosial.

Pada Ogos, Fahmi memaklumkan berdasarkan garis panduan yang dibina bersama dan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, mana-mana platform yang tidak mempunyai lesen selepas 1 Jan 2025 boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 126 akta tersebut.

Beliau berkata, kerajaan menegaskan pelesenan media sosial hanya terpakai untuk pengendali platform, bukan kepada pengguna atau pempengaruh.

Timbalan Ketua Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat, Razali Zakaria, pula berkata pihaknya menyokong ketegasan kerajaan dalam mengawal aktiviti negatif di media sosial seperti penyebaran berita palsu.

“Jangan lanjutkan masa untuk pelesenan media sosial sebelum bertambah buruk sehingga tidak boleh dikawal.

“Sebagai kerajaan mementingkan kesejahteraan dan keselamatan rakyat, perlu tegas dan tidak takut,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.