
Sebagai parti yang sentiasa berpihak kepada rakyat, Warisan beriltizam mengeluarkan Sabah daripada belenggu kemunduran yang masih menghantui rakyat selepas 61 tahun merdeka, kata presidennya, Shafie Apdal.
“Rakyat Sabah terus berdepan dengan pelbagai cabaran dari segi ekonomi, kesihatan dan pendidikan yang menghalang kemajuan mereka,” katanya, lapor Sinar Harian.
“Jadi Warisan komited untuk merapatkan jurang pembangunan dengan memperjuangkan hak ekonomi, mempertingkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti, serta memastikan sistem pendidikan yang inklusif dan berdaya saing untuk semua lapisan masyarakat.
Beliau berkata demikian mengulas laporan FMT mengenai jangkaan penganalisis politik bahawa Warisan akan bertanding solo pada PRN Sabah.
Sebelum ini, parti itu diuar-uarkan akan bekerjasama dengan BN, namun minggu lepas, Pengerusi BN Zahid Hamidi berkata, komponen itu sudah memuktamadkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), selain tidak menolak kemungkinan bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Shafie hari ini berkata, kerjasama dengan parti-parti yang berkongsi visi yang sama dapat memperkukuh perwakilan rakyat Sabah, selain membentuk kesatuan yang mantap dalam menghadapi cabaran unik yang wujud di negeri ini.
“Komitmen Warisan terhadap autonomi dan kemajuan Sabah tidak akan pernah goyah, dan kami sentiasa bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang benar-benar memperjuangkan kepentingan Sabah dan rakyatnya,” katanya.
Bulan lepas, Shafie dilaporkan berkata, Warisan akan mempertahankan 23 kerusinya disandangnya kini pada PRN Sabah yang dijadualkan tahun depan.
Bagaimanapun, katanya, parti itu belum memutuskan sama ada mahu bertanding di semua 73 DUN kerana mahu melihat kepada kedudukan, kekuatan dan kebolehan terlebih dahulu.