
Perdana menteri berkata beliau hanya bertindak adil dalam membantu golongan berpendapatan rendah.
“Kalau kita nak jaga golongan miskin, kita mesti ada sumber yang cukup. Kita mewarisi hutang sehingga RM1.5 trilion dan kita tidak mahu cukai rakyat. Cuma kita cukai sedikit terhadap golongan maha kaya.
“Itu bukan Robin Hood, tetapi hanya menarik subsidi,” katanya menurut Buletin TV3 pada majlis “Temu Anwar” di Universiti Pertahanan Nasional (UPNM).
Beliau berkata Malaysia antara negara memberikan subsidi tertinggi dan sistem percukaian terendah di dunia.
“Bayangkan, ada golongan terkaya di negara ini, di mana polisi kita sebelum ini mereka dapat subsidi elektrik dari kerajaan.
“Kerajaan cuma mahu mereka bayar harga kos, bagi saya itu adil. Jika ada pihak yang nak jadikan isu politik, tidak adil dan tidak munasabah, itu kerana melibatkan perniagaan mereka,” katanya sambil berikrar terus melaksanakan penyasaran subsidi demi menyelamatkan rakyat dan negara.