Sabah perlu pertahan budaya, kemerdekaan, kata Salleh

Sabah perlu pertahan budaya, kemerdekaan, kata Salleh

Bekas ketua menteri itu berkata, rakyat Sabah juga harus mengelak provokasi yang boleh ganggu keharmonian, jejas kedaulatan negeri.

Salleh Said Keruak
Presiden Usbo Salleh Said Keruak berkata, tarikh 1 Nov menjadi peringatan tentang tanggungjawab bersama rakyat Sabah untuk memelihara perpaduan dan keharmonian. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Rakyat Sabah perlu mempertahankan budaya dan kemerdekaan mereka, kata seorang bekas ketua menteri.

Salleh Said Keruak berkata, rakyat Sabah juga harus mengelak sebarang bentuk provokasi yang boleh mengganggu keharmonian dan menjejaskan kedaulatan negeri.

Dalam catatan di Facebook sempena memperingati penubuhan Sabah moden, Salleh yang juga presiden Pertubuhan Bumis Sabah Bersatu (USBO) berkata, tarikh 1 Nov menjadi peringatan tentang tanggungjawab bersama rakyat Sabah untuk memelihara perpaduan dan keharmonian.

“(Kedua-dua faktor inilah) selama ini mentakrifkan Sabah yang berbilang budaya dan etnik,” katanya.

Salleh berkata, Usbo kekal berdedikasi memastikan semangat perpaduan, kekuatan dan kerjasama terus dihayati oleh pelbagai komuniti masyarakat Sabah.

Katanya, Syarikat Borneo Utara British mula mentadbir Sabah pada 1 Nov 1881, menandakan permulaan perjalanan negeri itu ke era moden.

Tarikh itu, selain 31 Ogos dan 16 Sept, mempunyai makna yang mendalam bagi semua rakyat Sabah, katanya.

“Marilah kita hormati dan sambut hari penting ini dan menuju ke arah ketahanan dan keazaman demi membina masa depan yang lebih baik untuk Sabah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.