
Tertuduh berusia 37 tahun itu didakwa melakukan perbuatan terbabit terhadap kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun 10 bulan itu di sebuah unit pangsapuri di Bandar Sri Permaisuri, Cheras pada 19 Okt lepas.
Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Atiqa Nazihah Azmi tidak menawarkan jaminan atas alasan tertuduh dan mangsa mempunyai hubungan kekeluargaan dan tinggal bersama.
Bagaimanapun, katanya, jika mahkamah ingin menggunakan budi bicara bagi memberikan jaminan, pendakwaan mencadangkan jaminan RM10,000 berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan dia perlu melaporkan diri di balai polis.
“Selain itu, (pendakwaan mencadangkan) dia dilarang mendekati mangsa, keluarga dan saksi, serta tidak boleh tinggal serumah dengan mangsa sehingga kes selesai,” katanya, lapor Bernama.
Peguam K Narandra daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh memohon supaya jaminan dibenarkan dalam lingkungan RM5,000 selain bersetuju dengan syarat tambahan yang ditetapkan oleh pihak pendakwaan.
“Anak guam saya akan tinggal di rumah abangnya di Putrajaya dan mangsa pula akan dihantar ke sekolah asrama. Tertuduh akan dijamin oleh isterinya yang juga ibu mangsa dalam kes ini.
“Tertuduh mempunyai tiga anak yang dua daripadanya merupakan anak tirinya,” kata peguam itu.
Dalam prosiding itu, Hakim Azrul Darus turut dimaklumkan bahawa mangsa sendiri telah membuat laporan polis berhubung perbuatan bapa tirinya itu.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti yang dicadangkan pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 2 Dis ini untuk sebutan kes.