Mengalah, tolak ansur punca buli jadi budaya, kata Anwar

Mengalah, tolak ansur punca buli jadi budaya, kata Anwar

Perdana menteri berkata, buli tidak akan berlaku jika masyarakat menolak budaya itu.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata amalan buli tidak boleh berlaku di pusat pendidikan dan masyarakat tidak boleh menganggapnya budaya biasa.
KUALA LUMPUR:
Buli menjadi budaya dalam negara kerana sikap permisif, mengalah dan bertolak ansur terhadap pembuli, kata Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

“Ia tidak boleh berlaku kalau budaya menolaknya. Saya bagi tahu kepada menteri pendidikan, jangan tolak ansur.

“(Saya) bagi amaran dan nasihat jangan tolak ansur sama sekali…tak nak berlaku secara terpisah kerana berlaku dalam budaya,” katanya pada majlis “Temu Anwar” di Universiti Pertahanan Nasional (UPNM) di sini.

Kenyataannya menyusul satu kes buli membabitkan pelajar kadet UPNM yang disyaki dibuli seniornya dengan menekap seterika di dada sehingga meninggalkan kesan lecur.

Anwar bagaimanapun tidak menyebut kejadian itu secara khusus.

UPNM dalam kenyataan berkata, ia sedang menyiasat perkara itu dan berjanji akan mengambil tindakan disiplin atau undang-undang terhadap individu bertanggungjawab.

Anwar berkata, ilmu itu penting tetapi penghayatannya adalah mendidik adab dan akhlak.

“Amalan seumpama itu tidak boleh berlaku dalam pusat ilmu, apatah lagi menganggapnya budaya biasa. Apa masalah sampai begitu sekali?

“Ia kelompok kecil bukan mewakili keseluruhan mahasiswa, tapi budaya itu mengizinkan…budaya samseng, buli, gangster dalam sistem pendidikan di sekolah kebangsaan, Cina, Tamil, maahad tahfiz dan sekolah agama.

“Ini adalah kegilaan. Kita cakap soal ilmu, kita tidak tahu disiplin itu mendidik manusia. Darjat kemanusiaan dan ilmu itu penting kepada penghayatan.”

Dakwaan kejadian buli itu kes kedua membabitkan UPNM.

Awal tahun ini, Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap enam bekas penuntut UPNM kerana membunuh Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain tujuh tahun lalu.

Mahkamah diberitahu lima defendan bergilir-gilir menekap seterika wap pada badan Zulfarhan, termasuk alat sulitnya, manakala seorang bersubahat menghasut dan mengarahkan lima tertuduh berbuat demikian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.