Bekas diplomat gesa lantik utusan tetap Asean tangani krisis Myanmar

Bekas diplomat gesa lantik utusan tetap Asean tangani krisis Myanmar

Ilango Karuppannan berkata, utusan khas bersifat tetap akan membolehkan mereka membina rangkaian dan mengembangkan hubungan serta meraih kepercayaan.

Ilango Karuppannan
Ilango Karuppannan berkata, utusan khas tetap Asean untuk Myanmar akan membolehkan Asean mendesak junta mematuhi pelan damai lima perkara pada 2021.
PETALING JAYA:
Seorang bekas diplomat kanan menggesa pelantikan utusan khas tetap Asean ke Myanmar yang akan mewakili kejayaan besar buat Malaysia apabila mempengerusikan blok serantau pada tahun depan.

Ilango Karuppannan berkata, selain menggunakan jawatan pengerusi Asean untuk meredakan ketegangan di Laut China Selatan, Malaysia juga perlu melakukan usaha bersepadu bagi libat urus dengan Myanmar yang dalam perang saudara sejak rampasan kuasa pada 2021.

Sekurang-kurangnya 5,350 orang awam terbunuh dan lebih 3.3 juta penduduk hilang tempat tinggal. Dengan 10 anggota Asean berbelah bahagi terhadap langkah perlu diambil, cubaan penyelesaian diplomatik ke atas krisis itu terbukti tidak membuahkan hasil.

Ilango, bekas pesuruhjaya tinggi Malaysia ke Singapura, berkata walaupun Asean sudah mempunyai utusan khas ke Myanmar, tetapi ia tidak bersifat tetap. Buat masa ini, lantikan baharu mengambil alih peranan itu setiap tahun seiring penggiliran pengerusi Asean.

Beliau berkata, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mempunyai utusan sama yang dilantik setiausaha agungnya secara tetap, membolehkan individu terbabit membina rangkaian, mengembangkan hubungan dan meraih kepercayaan dengan pihak berkepentingan di lapangan.

“Sudah lama saya gesa Asean perlu melantik wakil tetap atau utusan ke Myanmar. Ia memberi isyarat kepada Myanmar bahawa kami serius melibatkan diri dengan mereka, tidak kira bila pengerusinya bertukar.

“Ia boleh menjadi kejayaan hebat buat Perdana Menteri, Anwar Ibrahim kerana Malaysia menjadi pengerusi Asean tahun depan.

“Utusan tetap akan tahu perkara itu secara terperinci dan menjadi sangat berkesan. Mereka juga boleh menjadi tumpuan utama dalam perbincangan dengan utusan lain seperti utusan khas PBB ke Myanmar – khasnya kerana Myanmar tidak mahu berurusan dengan mereka.

“Penting untuk Asean berbincang dengan Myanmar terlebih dahulu dan mendapatkan persetujuan mereka. Myanmar perlu berasa selesa dengan kedudukan baharu ini dan tahu mereka tidak diperdaya,” katanya kepada FMT.

Ilango berkata, jika ia menjadi kenyataan, peranan utama utusan tetap ialah mendesak junta Myanmar mematuhi pelan damai lima perkara yang dipersetujuinya pada 2021, tetapi gagal dilaksanakan.

Menurutnya, utusan PBB bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan seperti komuniti tempatan dan masyarakat sivil, rakan kongsi serantau, negara jiran serta keanggotaan PBB lebih luas.

Julie Bishop dari Australia dilantik sebagai duta khas setiausaha agung PBB di Myanmar April lalu. Bishop ialah utusan ke Myanmar yang ketiga sejak 2018.

Ilango, yang sebelum ini menjadi pesuruhjaya tinggi Malaysia ke Cyprus dan duta besar Malaysia ke Lubnan, juga pernah berkhidmat dalam pelbagai peranan diplomatik di Washington, Bonn dan Conakry.

Beliau bersara daripada perkhidmatan awam pada 2020 dan kini profesor adjung yang mengajar kursus hubungan antarabangsa dan diplomasi di Universiti Malaya serta Universiti Taylor’s. Beliau turut mempunyai saluran YouTube dikenali Diplomatify.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.