Syarat baharu permohonan MM2H Sarawak berkuat kuasa Januari

Syarat baharu permohonan MM2H Sarawak berkuat kuasa Januari

Permohonan untuk Sarawak-Malaysia Rumah Keduaku perlu patuhi syarat baharu bermula 1 Jan.

Abdul Karim Rahman Hamzah
Seramai 1,462 peserta dapat kelulusan sejak program S-MM2H diambil alih, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Abdul Karim Rahman Hamzah. (Gambar Bernama)
KUCHING:
Permohonan untuk program Sarawak-Malaysia Rumah Keduaku (S-MM2H) perlu mematuhi syarat baharu bermula 1 Jan depan, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) Sarawak Abdul Karim Rahman Hamzah.

Antara syarat itu ialah pemohon mesti berusia 30 tahun ke atas dan terdiri rakyat dari negara yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Malaysia.

“Wajib membuka akaun deposit tetap dengan mana-mana bank tempatan di Sarawak dengan jumlah diperlukan ialah RM500,000 bagi setiap permohonan termasuk pasangan dan tanggungan.

“Semua pemegang pas S-MM2H juga perlu menetap sekurang-kurangnya 30 hari setahun di Sarawak sebagai antara syarat untuk permohonan lanjutan atau pembaharuan visa.

“Tempoh sah pas S-MM2H kekal lima tahun dan peserta boleh memperbaharui permohonan mereka untuk lima tahun lagi,” katanya pada sidang media.

Beliau berkata sejak MTCP mengambil alih program S-MM2H daripada Jabatan Imigresen Sarawak pada 2020, seramai 1,462 peserta dapat kelulusan di bawah Jawatankuasa Panel MTCP.

“Jumlah keseluruhan peserta S-MM2H meningkat sebanyak 22.90% daripada 441 pada 2022 kepada 542 pada 2023,” katanya.

Sepuluh negara yang menyertai program itu ialah China dengan 391 peserta, United Kingdom (350), Taiwan (262), Hong Kong (255), Amerika Syarikat (210), Singapura (207), Korea Selatan (178), Jepun (138), Australia (121), dan Indonesia (117).

Maklumat lanjut mengenai permohonan S-MM2H boleh diperoleh dengan melayari laman web kementerian di https://mtcp.sarawak.gov.my.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.