PM sampaikan bantuan kepada Jocelyn Dewi

PM sampaikan bantuan kepada Jocelyn Dewi

Anwar Ibrahim dimaklumkan tentang wanita berusia 27 tahun yang menjaga tiga adik selepas pemergian ibu bapa mereka.

Jocelyn Dewi (kanan) bersama setiausaha politik kepada Anwar Ibrahim, Farhan Fauzi, ketika kunjungan semalam.
PETALING JAYA:
Perdana menteri menyampaikan bantuan kepada Jocelyn Dewi, wanita 27 tahun yang menjaga tiga adik selepas pemergian ibu bapa mereka, ketika negara meraikan Deepavali.

FMT sebelum ini melaporkan kesukaran Jocelyn menampung kehidupan keluarganya sejak beberapa bulan lalu.

Wanita itu satu-satunya pencari nafkah untuk membesarkan dua adik yang bersekolah dan seorang yang menghidap autisme.

Anwar Ibrahim menulis sumbangan dan kelengkapan Deepavali disampaikan kepada Jocelyn oleh setiausaha politiknya, Farhan Fauzi, semalam.

“Saya dimaklumkan bahawa saudari Joselyn perlu memikul amanah selaku ketua keluarga selepas kematian bapa manakala ibunya pula pulang ke Filipina,” katanya di Facebook.

Jocelyn berdepan kesukaran mendapatkan pekerjaan tetap kerana tidak memiliki kad pengenalan, lantaran ibu bapanya mendaftarkan perkahwinan selepas dia dilahirkan.

“Saya telah meminta saudara Farhan untuk membantu memanjangkan permohonan ini sesegera mungkin,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.