Rafizi, premier Sarawak bincang RUU perdagangan karbon

Rafizi, premier Sarawak bincang RUU perdagangan karbon

Perbincangan itu tertumpu pada usaha harmoni undang-undang negeri dan persekutuan sebelum RUU dibentangkan hujung tahun ini, kata menteri ekonomi.

Rafizi Ramli mengadakan pertemuan dengan Abang Johari Openg di Wisma Bapa Malaysia, Kuching, Sarawak, hari ini. (Gambar UKAS)
KUCHING:
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli mengadakan pertemuan dengan Premier Sarawak Abang Johari Openg serta menteri-menteri negeri bagi membincangkan Rang Undang-Undang (RUU) berhubung perdagangan karbon.

Rafizi berkata, perbincangan itu tertumpu pada usaha mengharmonikan undang-undang pada peringkat negeri dan persekutuan sebelum RUU itu dibentangkan hujung tahun ini.

“Semangatnya adalah untuk memastikan Sarawak dan juga Malaysia dapat melaksanakan Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) dengan secepat mungkin mengikut perancangan yang dibuat dan proses itu akan terus berjalan.

“Saya lega apabila mengetahui semua pihak bersetuju untuk memastikan kejayaan kemajuan Malaysia, kerana CCUS ialah satu kegiatan berteknologi tinggi yang memacu lonjakan ini ke hadapan,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan bersama Abang Johari di Wisma Bapa Malaysia hari ini.

Rafizi berkata, jika Malaysia dapat melaksanakan perdagangan karbon dengan berjaya dalam tempoh lima tahun akan datang, ia akan meletakkan Malaysia di hadapan dan menjadikan Sarawak sebagai pemain utama pada peringkat serantau.

“Ia akan mencipta banyak pekerjaan dengan gaji tinggi, mengangkat kepimpinan kita dalam peralihan tenaga. Saya rasa momentum untuk ini telah meningkat dengan begitu pantas dalam tempoh satu tahun,” katanya.

Setakat ini, katanya, empat negeri telah dikenal pasti mempunyai potensi besar untuk melaksanakan CCUS, iaitu Sabah, Sarawak, Terengganu dan Pahang.

“Jadi, buat masa ini kami memberi tumpuan kepada empat negeri ini, dan kesemuanya telah mengadakan sesi libat urus mengenai undang-undang CCUS ini,” katanya.

Sebelum ini, Rafizi dilaporkan berkata, RUU CCUS akan dibentangkan di Parlimen pada November.

Beliau berkata, penggubalan undang-undang nyahkarbon itu bertujuan mengawal selia kegiatan berkaitan, sekali gus menarik lebih ramai pelabur ke negara ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.