
Mohamad Suhaimi Mohd Sani, 28, bersama-sama dua individu yang telah dituduh dan dua masih bebas, didakwa dengan niat bersama memperdagangkan empat individu, termasuk tiga wanita berusia antara 30 hingga 57 tahun.
Perbuatan itu dilakukan di Ikhwan Resort Kampung Air Bintan, Ladang Sungai Papan, Bandar Penawar, sejak Mei hingga 1 Okt lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Khairuddin Khalid manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Zahier Rosli.
Hakim Hayda Faridzal Abu Hasan membenarkan Mohamad Suhaimi diikat jamin RM5,000 bagi setiap tuduhan berserta syarat tambahan tidak mengganggu saksi pendakwaan dan mangsa.
Selain itu, dia diperintah melapor diri di IPD Kluang setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Mahkamah membenarkan ikat jamin berkenaan selepas Ahmad Khairuddin mengesahkan bahawa tertuduh tidak lagi tertakluk bawah tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma)
Mahkamah turut menetapkan 28 Nov untuk sebutan semula kes dan penyerahan dokumen.
Pagi tadi, Mohamad Suhaimi serta CEO GISBH Nasiruddin Mohd Ali dan isterinya, Azura Md Yusof, yang didakwa atas tuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang memfailkan permohonan habeas corpus untuk dibebaskan serta-merta di Mahkamah Tinggi Johor Bahru.
Dalam permohonan itu, mereka memohon Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah writ habeas corpus bagi membebaskan mereka daripada tangkapan dan penahanan tidak sah oleh pihak responden.
Mohamad Suhaimi menamakan menteri dalam negeri, ketua polis negara dan kerajaan Malaysia selaku responden pertama hingga ketiga.
Nasiruddin dan Azura pula menamakan menteri dalam negeri, ketua polis negara, pendakwa raya, pengarah penjara Selangor dan Kuala Lumpur serta kerajaan Malaysia selaku responden pertama hingga kelima.