
PETALING JAYA: Seorang lelaki berusia 44 tahun direman enam hari bagi membantu siasatan kes pembuangan bayi di Sibu semalam.
Majistret Oon Kork Chern turut mengarahkan lelaki itu, yang juga suspek kes berkenaan, dihadapkan semula ke mahkamah pada 5 Nov, lapor Bernama.
Dilaporkan semalam lelaki itu bersama seorang remaja perempuan berusia 14 tahun ditahan susulan penemuan seorang bayi baru lahir di dalam besen sampah di depan sebuah premis perniagaan di Jalan Tong Sang.
Bayi yang cukup sifat itu berada dalam keadaan sihat, dipercayai dilahirkan dalam tempoh kurang 24 jam.
Ketua Polis Sibu Zulkipli Suhaili berkata, kes disiasat bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan (Akta 574) kerana menyembunyikan kelahiran bayi dengan niat membuang bayi.