Kes culik ahli perniagaan, polis peroleh semula wang tebusan RM7.2 juta

Kes culik ahli perniagaan, polis peroleh semula wang tebusan RM7.2 juta

Sindiket culik turut didalangi warga asing itu menerima wang tebusan RM20 juta termasuk dalam bentuk mata wang digital.

Pengarah JSJK Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata wang tunai RM1.95 juta, SGD1 juta, dan wang digital USDT400,00 (RM1.75 juta) berjaya diperoleh semula. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis berjaya memperoleh semula RM7.2 juta daripada wang tebusan RM20 juta yang dibayar kepada sindiket melibatkan kes culik ahli perniagaan pada 13 Okt.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata jumlah wang diperoleh itu secara keseluruhannya melibatkan bayaran dalam bentuk wang tunai dan mata wang digital (Ethereum).

“Wang Ini melibatkan wang tunai RM1.95 juta dan mata wang asing iaitu SGD1 juta (RM3.3 juta) dan wang digital berjumlah USDT400,00 (RM1.75 juta).

“Selain itu, pihak polis turut merampas sepucuk pistol jenis Pietro Beretta dipercayai bukan pistol tiruan, 250 butir peluru hidup, dan sepasang gari,” katanya menurut Sinar Harian pada sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru.

Katanya, setakat ini polis telah menahan 14 suspek berusia 23 hingga 58 tahun dipercayai terlibat menculik.

Katanya, semua suspek melibatkan 11 warga tempatan serta tiga warga Vietnam itu ditangkap di lokasi berasingan di sekitar bandaraya ini pada hari sama mangsa dibebaskan.

“Mengikut pecahan semua yang ditahan melibatkan 10 lelaki dan seorang wanita warga tempatan serta dua lelaki dan seorang wanita Vietnam,” katanya.

Beliau berkata, mereka dibahagikan mengikut peranan kepada beberapa kumpulan antaranya merancang dan menculik, lupus barang culik serta menguruskan wang tebusan.

“Kita juga berharap kes tersebut dapat diselesaikan dengan kadar segera kerana ia melibatkan warga asing termasuk dipercayai ada suspek yang masih bebas.”

Semua 14 suspek berkenan direman sehingga 5 Nov.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.