Imigresen usir 24 warga China tinggal lebih masa di Sabah

Imigresen usir 24 warga China tinggal lebih masa di Sabah

Semua warga China berusia antara 31 hingga 64 tahun itu dihantar pulang melalui penerbangan terus dari Lapangan Terbang Tawau ke Guangzhou.

Pengarah Imigresen Sabah Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata semua warga China itu ditahan di Depot Imigresen Tawau sebelum diusir menerusi program pemindahan tahanan pendatang tanpa izin. (Gambar Facebook)
TAWAU:
Jabatan Imigresen menghantar pulang 24 warga China ke negara asal melalui penerbangan secara terus dari Lapangan Terbang Tawau ke Guangzhou, China semalam.

Pengarah Imigresen Sabah Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata mereka yang berumur antara 31 hingga 64 tahun itu ditahan di Depot Imigresen, diusir menerusi program pemindahan tahanan pendatang tanpa izin.

Katanya, mereka didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Sebanyak 20 tahanan dikenakan hukuman bayaran kompaun masing-masing RM10,000 dan diusir pulang ke negara asal manakala empat lagi individu hanya dikenakan tindakan usir pulang ke negara asal mengambil kira faktor usia lanjut tahanan terbabit.

“Statistik pemindahan warga asing melibatkan pengangkutan udara setakat tempoh 10 bulan ini sahaja ialah 256 individu termasuk 34 warga China,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, Sh Sitti berkata pihaknya turut merekodkan 98 penghantaran pulang tahanan di Depot Imigresen di Sabah melibatkan pemindahan 6,873 individu melalui pengangkutan laut serta udara.

“Statistik pemindahan itu membabitkan 4,805 warga Filipina, 1,855 Indonesia, 88 Pakistan, 39 Vietnam, 34 China serta 52 warga lain-lain yang melalui proses perundangan di negara ini,” katanya.

Beliau berkata program pemindahan tahanan ini dapat dilaksanakan dengan baik berikutan kerjasama serta komitmen pihak kedutaan tahanan terbabit.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan kepada majikan di negeri ini yang menggaji pekerja asing agar memastikan pekerja berkenaan memiliki pas lawatan kerja sementara (PLKS) untuk bekerja di Sabah.

“Individu yang memegang pas lawatan sosial bagi tujuan melancong diminta tidak menyalahgunakan pas bagi tujuan lain atau tinggal lebih masa di negara ini kerana boleh dikenakan tindakan undang-undang termasuk disenaraihitamkan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.