
Pengurus kewangan bertauliah dari Ringgit Minded, Kelvin Goh, berkata peminjam akhirnya akan membayar lebih tinggi faedah, manakala Setiausaha Agung Persatuan Pembeli-pembeli Rumah Kebangsaan, Chang Kim Loong, berkata ia cuma memanfaatkan bank dan pemaju.
Goh berkata, gadai janji lebih lama juga menangguhkan kebebasan kewangan peminjam.
Katanya, individu yang terhad celik kewangan berkemungkinan tertarik dengan skim tersebut kerana tawar bayaran bulanan lebih rendah, menjurus mereka “terlalu komited terhadap kediaman mahal”.
Beliau memberi amaran gadai janji lebih panjang membawa kepada fenomena lebih dikenali “pinjaman generasi kedua”, yang mana anak-anak pula terpaksa membayar ansuran bulanan selepas ibu bapa meninggal dunia.
“Ini sememangnya berlaku kepada keluarga B40, apabila pesara mungkin bergelut membayar ansuran gadai janji, memaksa anak-anak memegang hartanah itu yang tidak diperlukan mereka atau tidak mampu untuk ditanggung.
“Anak-anak kemudian terperangkap ke atas kewajipan kewangan yang bukan dimahukan, jadi mengehadkan kebebasan kewangan mereka,” katanya kepada FMT.
Dalam pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Okt, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam akan memperkenalkan skim kewangan perumahan belia bagi membolehkan penjawat awam golongan itu memohon pinjaman perumahan dengan tempoh sehingga 40 tahun.
Baru-baru ini, dilaporkan Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia, dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, akan berbincang beberapa cadangan baharu, antaranya penyediaan gadai janji lebih panjang di bawah Dasar Perumahan Negara.
Ketika ini, tempoh pinjaman perumahan maksimum ditetapkan 30 tahun.
Goh turut merujuk penjawat awam yang mengambil pilihan gadai janji 40 tahun perlu bersedia berterusan membayar ansuran bulanan walaupun selepas bersara.
“Ini tidak ideal memandangkan tempoh persaraan untuk dinikmati, bukan untuk membayar hutang,” katanya.
Bekas pemimpin Umno, Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan, tidak bersetuju dengan lanjutan tempoh pinjaman perumahan sebagai penyelesaian krisis kekurangan rumah mampu milik.
Minggu lalu, dalam audio siar Keluar Sekejap, Khairy menyifatkan gadai janji lebih panjang seperti ‘berhutang sampai mati’.