
Rafizi berkata, Perikatan Nasional (PN) sebenarnya boleh mengumpul angka-angka tersebut menerusi pelaporan rasmi yang dibentangkan di Parlimen setiap tahun bagi tujuan anggaran dan unjuran belanjawan, seperti dilakukan Pakatan Harapan (PH) ketika menjadi pembangkang.
“PH dulu masa jadi pembangkang, tiap-tiap tahun membentangkan belanjawan bayangan.
“Saya dalam pasukan awal yang menyediakan belanjawan bayangan PH sebelum disambung Ahli Parlimen yang lain,” katanya dalam satu rakaman video di Facebook.
Menurut Rafizi, empat dokumen boleh dijadikan rujukan untuk menyediakan belanjawan bayangan antaranya Tinjauan Ekonomi Tahunan, Tinjauan Fiskal dan Hasil Kerajaan Persekutuan, Anggaran Perbelanjaan Persekutuan, dan Perincian Jumlah Perjawatan Seluruh Agensi Kerajaan.
Tambahnya, dokumen bagi Belanjawan 2024 yang dibentangkan tahun lepas juga boleh digunakan untuk membuat unjuran bagi tahun 2025.
“Jangan bagi alasan tiada angka. Ini umpama cikgu sudah bagi nota semua tapi masih nak tunggu skema jawapan diberi terlebih dahulu untuk jawab soalan peperiksaan,” katanya.
Pada 22 Okt lalu, Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze dari Pakatan Harapan berkata pembangkang wajar membentangkan belanjawan tersendiri agar sistem demokrasi sihat dan berfungsi, selain memainkan peranan semak serta imbang.
Namun, Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari menolak gesaan itu sambil menyifatkannya tidak relevan kerana memerlukan angka tepat berkaitan unjuran dan butiran pendapatan negara.
Manakala Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man turut berpendapat tiada keperluan untuk pihaknya menyediakan bajet kerana itu di luar tanggungjawab dan peranan mereka.