
Hakim Collin Lawrence Sequerah memutuskan pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Najib.
Najib yang juga bekas menteri kewangan kelihatan tenang selepas Sequerah membuat keputusan berkenaan, di akhir kes pendakwaan.
Najib memilih memberikan keterangan bela diri daripada kandang saksi secara bersumpah dan boleh disoal oleh pihak pendakwaan.
Peguam Shafee Abdullah memberitahu mahkamah: “Tiada apa mahu disembunyikan beliau.”
Najib dibicarakan atas empat tuduhan penyalahgunaan kuasa dan 21 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB sebanyak RM2.28 bilion yang dimasukkan ke akaun AmBank miliknya, antara Februari 2011 dan Disember 2014.
Seramai 50 saksi memberi keterangan ketika kes pendakwaan yang berlangsung selama 253 hari antara 28 Ogos 2019 hingga 30 Mei lalu.
Antara saksi utama termasuk bekas Gabenor Bank Negara Malaysia Zeti Akhtar Aziz dan bekas peguam 1MDB Loo Ai Swan, yang turut dikenali sebagai Jasmine Loo.
Hakim menetapkan tarikh perbicaraan bersambung 2 Dis, selepas peguam yang turut mewakili Najib, Tania Scivetti berkata pihak pembelaan memerlukan lebih masa untuk persiapan.
Katanya, penyataan saksi Najib akan disediakan oleh pasukan pembelaan kepada pendakwaan kemudian.
Tuduhan tak cacat, saksi dipercayai
Terdahulu, Sequerah berkata empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pengubahan wang “tidak kabur” sepertimana dicadangkan pembelaan, dan memenuhi semua keperluan undang-undang.
Beliau berkata, 25 pertuduhan menjelaskan masa, lokasi, dan dakwaan berlakunya kesalahan.
“Objektif utama pertuduhan (jenayah) untuk memastikan tertuduh mempunyai notis mencukupi mengenai apa yang dituduh ke atas mereka.
“Mahkamah mendapati tertuduh (Najib) tidak diprejudiskan atau dikelirukan dengan lokasi (kesalahan),” katanya.
Mahkamah juga mendapati saksi kredibiliti dan integriti saksi tertentu utuh.
Sebelum ini, peguam Najib mendakwa bekas pegawai khas, Amhari Efendi Nazaruddin, bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Zeti, dan Loo berhasrat mengenakan bekas perdana menteri itu menerusi keterangan mereka.
Bagaimanapun, Sequerah menolak cadangan itu.
“Ada di antara mereka berterus terang dalam keterangan bahawa mereka menerima hadiah daripada Jho Low (ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho).
“Keterangan mereka ke atas peranan tertuduh (dalam 1MDB) adalah konsisten dan tiada motif untuk mengenakannya (Najib),” katanya.