
Presiden Pertubuhan Kebangsaan Agensi Pekerjaan Swasta Malaysia (Pikap), Fiona Low, berkata ketika ini majikan yang menggajikan pekerja asing menanggung pelbagai kos antaranya bayaran levi tahunan hingga RM1,850, pemeriksaan perubatan, pengangkutan, penginapan dan makanan.
“KWSP adalah langkah bagus untuk pekerja tapi seimbangkan dengan kos ditanggung pihak majikan.

“Jangan jadikan caruman majikan beban kepada majikan kerana majikan di negara ini menanggung kos tertentu, jadi kalau dah jadi beban perniagaan mereka akan terjejas akhirnya menjejaskan perkembangan ekonomi negara,” katanya kepada FMT.
Pada 21 Okt lalu KWSP mengumumkan liputan mandatori untuk pekerja bukan warganegara sebagai usaha memperluaskan perlindungan sosial susulan pengumuman Belanjawan 2025 yang mewajibkannya, dengan pelaksanaan dibuat berfasa.
Menyusuli pengumuman itu, Ahmed Razman Abdul Latiff dari Putra Business School mencadangkan caruman KWSP bagi kumpulan tersebut ditetapkan antara 13% hingga 15% bagi mengelakkan aliran wang tunai mendadak keluar susulan kenaikan gaji minimum RM1,700.
Selain kadar caruman tinggi itu, Razman juga mencadangkan pengeluaran simpanan hanya boleh dibuat pada usia 55 tahun kerana ia akan menguntungkan kerajaan susulan penambahan kadar dividen serta wang menerusi dana persaraan tersebut boleh digunakan untuk pelaburan masa depan.
Dalam pada itu, Fiona turut menggesa kerajaan mempertimbangkan mekanisme mudah bagi pengeluaran KWSP untuk warga asing kerana ia akan memberi kesan kepada kumpulan terbabit sama ada mereka mahu bekerja di Malaysia atau tidak.
“Sementara ini untuk pekerja asing datang ke Malaysia…apabila mereka bandingkan pendapatan dengan negara lain, Malaysia termasuk negara yang pendapatannya tidak begitu tinggi. Jadi mereka akan pertimbangkan nak datang atau tidak,” katanya.