Suami isteri antara 3 ditahan, polis rampas syabu lebih RM700,000

Suami isteri antara 3 ditahan, polis rampas syabu lebih RM700,000

Tiga suspek itu ditahan dalam serbuan di sekitar kawasan Seri Alam, Pasir Gudang pada 18 Oktober lalu.

Mohd Sohaimi Ishak menunjukkan bahan rampasan termasuk dadah jenis syabu dirampas dalam serbuan 18 Okt lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis memberkas tiga individu termasuk pasangan suami isteri dan merampas 20 bungkus dadah jenis syabu bernilai RM705,472 dalam serbuan di sekitar kawasan Seri Alam, Pasir Gudang pada 18 Okt lalu.

Ketua Polis Seri Alam, Mohd Sohaimi Ishak, berkata tiga suspek berusia sekitar 40 hingga 58 tahun itu ditahan dalam operasi khas Pasukan Tindakan Khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman.

Katanya, sindiket itu menggunakan modus operandi dengan meninggalkan dadah dalam kenderaan bersama kunci sebelum diambil seorang individu yang bertindak sebagai transporter.

“Dia kemudiannya datang membawa kenderaan bersama dadah itu untuk dihantar ke lokasi ditetapkan. Selepas penghantaran selesai, kenderaan terbabit akan dipulangkan ke lokasi asal.

“Siasatan kita mendapati sindiket terbabit mengambil dadah di Kuala Lumpur dan membawanya ke sini. Dadah itu kemudian dibungkus dalam peket kecil untuk diedarkan ke pasaran tempatan,” katanya pada sidang media di IPD Seri Alam hari ini, menurut Berita Harian.

Beliau berkata berdasarkan ujian saringan urin, semua suspek disahkan negatif dadah namun semakan mendapati mereka mempunyai 10 rekod lampau berkaitan dadah.

Katanya, suspek lelaki tempatan berusia 58 tahun dan isterinya yang juga warga asing berusia 45 tahun dipercayai menjadi dalang kegiatan transporter sindiket terbabit.

“Seorang lagi suspek lelaki berusia 40 tahun adalah pemandu yang mengambil bekalan dadah.

“Sindiket ini dipercayai aktif sejak Julai lalu. Polis turut merampas sebuah kereta Honda Accord bernilai RM45,000.

“Semua suspek direman 13 hari yang berakhir esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.