
Mas Ermieyati mungkin berwibawa dan berkebolehan, tetapi Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia berkata pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan bakal ketua wanita Bersatu itu sudah pun sibuk dengan tugas peringkat pusat.
Fauzi berkata Bersatu sebaliknya perlu mengembangkan bakat dan sokongan tempatan Yadzil, dengan mengintai PRN Melaka akan datang.
“Yadzil harus menumpukan usaha memupuk sokongan akar umbi kepada Bersatu di Melaka, dengan mengambil kira Perikatan Nasional (PN) mempunyai peluang sebenar untuk merebut tampuk pemerintahan di peringkat negeri semasa PRN akan datang.
“Jika ini berlaku, Yadzil pastinya akan bertanding jawatan ketua menteri, manakala Mas Ermieyati dalam barisan untuk dilantik ke Jemaah Menteri sekiranya kerajaan pusat jatuh kepada PN (dalam pilihan raya umum akan datang),” katanya kepada FMT.
Bagaimanapun, Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata apa yang berlaku pada Bersatu Melaka adalah perkara biasa dalam parti-parti politik, dengan panglima perang tempatan berusaha mengelakkan ditentang pemimpin ‘payung terjun pilihan pusat’.
Beliau berkata hanya tokoh tempatan mempunyai sokongan akar umbi yang padu akan dapat menahan tekanan untuk memberi laluan kepada pemimpin pusat yang lebih terkemuka.
“Tidak dinafikan, kepimpinan kanan Bersatu ingin meningkatkan lagi ketokohan politik Mas Ermieyati dengan mengiktiraf pengalaman akar umbi beliau dalam menyerahkan kepimpinan Bersatu Melaka kepadanya.”
Yadzil, yang bertanding merebut kerusi Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dalam pemilihan parti, sebelum ini mengadu cubaan mensabotaj kerjaya politiknya, menyebabkan bahagian Jasin digantung.
Penggantungan itu dipercayai berpunca ada cawangannya gagal mengadakan mesyuarat, dengan Setiausaha Agung parti Hamzah Zainudin berkata pengurusan serta pentadbiran Bersatu Jasin diambil alih oleh MPT.
Sumber parti memberitahu FMT, keputusan itu diambil selepas siasatan mendapati ada cawangan tidak mengadakan mesyuarat, berbeza dengan laporan bahagian kepada ibu pejabat.
Seorang pemimpin akar umbi Bersatu Melaka kemudian meminta Yadzil memberi laluan kepada Mas Ermieyati, dengan berkata ia akan memberi peluang lebih baik kepada Bersatu untuk merampas kuasa di negeri itu pada PRN akan datang.
Oh menolak pandangan mengatakan cadangan itu adalah cubaan merampas kuasa kuasa untuk kepentingan peribadi.
“Bersatu tidak berkuasa pada masa ini, sekurang-kurangnya tidak di Melaka dan banyak aset parti telah dibekukan. Jadi, pada prinsipnya, panglima perang tempatan sepatutnya boleh memegang kubu itu, melainkan prestasi politiknya tidak bagus.”