
Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Raub Selamat, berkata polis menerima satu video tular semalam yang menunjukkan sekumpulan individu berkenaan mengibarkan bendera negara luar.
Menurutnya, program anjuran sebuah pertubuhan kebudayaan itu menghimpunkan penganut agama membabitkan lebih daripada 10 negara.
“IPD Johor Bahru Selatan telah menerima satu laporan polis berhubung pengibaran negara luar dalam perarakan itu pada 3 petang semalam.
“Susulan itu, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 3(1) Akta Lambang Kebangsaan 1949, Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan, menurut Berita Harian.
Beliau berkata pihaknya akan memanggil penganjur dan saksi terbabit acara berkenaan bagi membantu siasatan.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi talian Hotline Johor Bahru selatan 07-2182323 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.