
Ketua Polis Perak Azizi Mat Aris berkata, kelima-limanya dipanggil memberi keterangan semalam berhubung siasatan perhimpunan itu diadakan tanpa notis awal.
Individu yang dipanggil terdiri daripada Adun Gunung Semanggol dan Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria, Adun Selinsing Sallehuddin Abdullah, dan tiga ahli parti yang identitinya tidak didedahkan.
“Kertas siasatan himpunan ini telah lengkap dan akan dihantar ke Bahagian Perundangan (D5) Bukit Aman untuk nasihat, seterusnya kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut,” katanya di IPK Perak hari ini, lapor Utusan Malaysia.
Beliau juga berkata, lapan laporan diterima berhubung perhimpunan lebih sejam yang melibatkan lebih 300 peserta itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012.
“Kita jalankan siasatan berdasarkan kesalahan (mengadakan perhimpunan tanpa notis awal), bukan kesalahan mengibarkan bendera Jalur Gemilang di tempat awam,” kata Azizi.
Terdahulu, media melaporkan perhimpunan itu diadakan sebagai demonstrasi balas terhadap sambutan Festival Guan Gong selepas video tular menunjukkan bendera China dikibarkan berhampiran Menara Condong ketika perarakan pada 24 Okt lepas.
Pengerusi kuil Guan Gong, Soon Boon Hua kemudiannya memohon maaf dan menjelaskan tindakan itu dilakukan oleh delegasi dari China, di luar jangkaan penganjur.
Dalam pada itu, kertas siasatan berasingan berhubung pelanggaran syarat permit penganjuran festival antarabangsa itu telah dirujuk kepada Bahagian D5 hari ini.
“Kita sedang menunggu arahan untuk tindakan susulan sama ada perlu menambah (keterangan) atau meneruskan dengan tuduhan di mahkamah,” kata Azizi.
Sabtu lepas, Azizi berkata, penganjur melanggar permit yang diluluskan pada 2 Okt lepas, dengan membenarkan warga asing menyertai perarakan itu.
Polis telah merakam kenyataan daripada 16 warga China, termasuk lapan lelaki berusia antara 40 hingga 61 tahun, yang menyertai perarakan itu, selain pengerusi, setiausaha dan bendahari penganjur.
Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Lambang Kebangsaan 1949 kerana mengibarkan bendera asing di tempat awam dan Seksyen 4(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana melanggar syarat permit.