Pekerja cemas terserempak 2 ‘pak belang’

Pekerja cemas terserempak 2 ‘pak belang’

Insiden semalam adalah kali kedua selepas penemuan pertama melibatkan seekor harimau belang melintas jalan berhampiran Aring 5, Gua Musang kelmarin.

rimau
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan menasihatkan orang ramai menjarakkan diri jika terserempak dengan harimau terbabit. (Gambar Bernama)
GUA MUSANG:
Sekumpulan 13 pekerja kontraktor cemas apabila terserempak dua harimau belang ketika sedang melakukan kerja menurap jalan di Jalan Gua Musang-Kenyir dekat Aring 5, semalam.

Pengurus pekerja kontraktor Mohamad Alif Asrah Rosdi, 33, berkata dalam kejadian 8.20 malam, semua pekerja terkejut dengan kemunculan haiwan tersebut yang melintas jalan utama kira-kira 300m dari tempat penurapan.

Beliau berkata, insiden semalam adalah kali kedua selepas penemuan pertama yang melibatkan seekor harimau belang melintas jalan berhampiran Aring 5 pada 9.30 pagi kelmarin.

“Semua pekerja saya terperanjat melihat harimau belang itu melintas di hadapan mereka. Dalam keadaan berjaga-jaga, mereka memerhatikan gerak-geri haiwan tersebut yang kemudian masuk ke dalam semak.

“Setelah benar-benar yakin keadaan selamat barulah mereka kembali bekerja seperti biasa,” katanya kepada pemberita hari ini.

“Keadaan ini menyebabkan kami bekerja dalam keadaan takut dan berwaspada kerana bimbang kemunculan haiwan liar itu yang mungkin menyerang kami,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan Mohamad Hafid Rohani berkata sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai kejadian.

Beliau menasihatkan orang awam bergerak secara berkumpulan, tidak melakukan provokasi, elakkan mengambil tindakan sendiri dan menjarakkan diri jika terserempak dengan haiwan liar itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.