
Ketua Polis Ampang, Mohd Azam Ismail, berkata lelaki berusia 30-an itu diberkas berhampiran Jalan Pandan 2/3 Pandan Jaya, Ampang, kira-kira 7 malam semalam, dua jam selepas dikesan membuat hantaran berkenaan.
Beliau berkata, polis mengesan video TikTok berdurasi 45 saat dimuat naik melalui akaun ‘theintheinzaw403’, untuk memburukkan polis dan mendapat 160,000 tontonan pada 5 petang semalam.
“Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamin dan amphetamin,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, perintah reman selama empat hari hingga 1 Nov ini diperoleh pihaknya ke atas lelaki itu untuk siasatan lanjut bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan, iaitu mendatangkan kecederaan pada pihak polis ketika tangkapan hendak dilaksanakan.
Katanya, selain itu suspek juga disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.