
Anwar yang juga menteri kewangan itu berkata proses terbabit dibuat Jabatan Peguam Negara dan undang-undang dicadangkan dipinda termasuk Akta Pengambilan Tanah 1960.
“Ini untuk memudahkan sambil menyelesaikan isu Enklaf Duta dan masalah berbangkit kemudian,” katanya menjawab soalan Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) pada sesi waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat.
Takiyuddin meminta penjelasan berhubung langkah diambil kerajaan dalam kemelut Enklaf Duta di Mukim Batu.
Ia susulan keputusan Mahkamah Tinggi mengarahkan pemulangan semula 106.54 hektar tanah di Jalan Duta, Kuala Lumpur oleh kerajaan Persekutuan kepada Semantan Estate Sdn Bhd yang memberikan implikasi serius kepada negara dalam pelbagai aspek.
Pada 19 Sept lalu, Mahkamah Rayuan di Putrajaya berharap kerajaan dan Semantan Estate Sdn Bhd berbincang dalam isu pertikaian pemindahan tanah seluas 106.542 hektar di Jalan Tuanku Abdul Halim, Kuala Lumpur dengan segera.
Enklaf Duta membabitkan kawasan menempatkan pelbagai bangunan kerajaan antaranya Lembaga Hasil Dalam Negeri, Akademi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Arkib Negara dan Masjid Wilayah Persekutuan.
Anwar berkata sementara menunggu proses rayuan sedang berjalan, tanah terbabit tidak dibenarkan diambil untuk pembangunan swasta atau komersial.
Menurutnya, sejak 1956 pembangunan di kawasan itu hanya berkait pembinaan bangunan dan kompleks kerajaan, selain masjid.