Dipecat secara tidak adil, bekas pengarah syarikat pemaju dapat RM792,000

Dipecat secara tidak adil, bekas pengarah syarikat pemaju dapat RM792,000

Mahkamah Perusahaan berkata pemecatan Ng Ying Yiing didalangi oleh ketua pegawai eksekutif syarikat itu selepas dia memfailkan aduan mengenai kemungkinan berlaku salah laku.

mahkamah perusahaan malaysia
Mahkamah Perusahaan menganugerahkan gaji tertunggak sebanyak RM792,000 kepada Ng Ying Yiing kerana pemecatan salah oleh syarikat pemaju Symphony Life Bhd. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Perusahaan menganugerahkan gaji tertunggak sebanyak RM792,000 kepada seorang bekas pengarah Symphony Life Bhd atas pemecatan yang tidak adil dengan alasan salah laku.

Dalam pemberian pampasan maksimum 24 bulan gaji, Pengerusi Mahkamah D Paramalingam berkata pemecatan Ng Ying Yiing terbukti didalangi oleh rakan pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Chin Jit Pyng.

Hakim berkata bahawa Chin, seorang saksi majikan, terpaksa mengambil tindakan sedemikian untuk menggagalkan siasatan berhubung dakwaan salah lakunya dalam syarikat itu, selepas Ng memfailkan aduan mengenai perkara itu.

Kesalahan itu kononnya melibatkan pembelian saham dalam syarikat tersenarai.

Hakim itu berkata beliau mendapati lapan pertuduhan syarikat berkenaan dakwaan salah laku terhadap Ng — atas alasan membangkang, pelanggaran kuasa dan pelanggaran kerahsiaan — adalah tidak berasas dan direka-reka selepas memberi maklumat mengenai Chin, yang membawa kepada siasatan dalaman.

Paramalingam juga berkata adalah jelas bahawa keseluruhan isu mengenai urus niaga saham CCB didalangi oleh Chin dan penasihat kumpulan pada masa yang penting, David Goh.

“Apabila Chin mendapat maklumat mengenai siasatan audit yang akan berlaku, dia bertindak untuk menghalang siasatan dan memutarbelit keadaan menyebabkan Ng, pengarah eksekutif syarikat (Teo Chiah Chyi) dan ahli jawatankuasa audit (Loi Chee Fong) terpalit,” katanya dalam Anugerah 45 muka surat dikeluarkan pada hari Khamis.

Akibatnya, Chin menggantung Ng dan Teo.

“Adalah jelas bahawa keseluruhan siasatan yang dimulakan oleh syarikat dan dijalankan secara tergesa-gesa itu didalangi oleh Chin dengan tujuan semata-mata untuk menggagalkan siasatan atas salah lakunya,” tambah Paramalingam.

Beliau berkata Ng harus mempertimbangkan untuk membawa tindakan sivil terhadap Chin.

Ng dilantik sebagai pengarah bebas bukan eksekutif Symphony Life pada 23 Mac, tetapi telah dipecat lima bulan kemudian. Dia dibayar RM33,000 sebulan dalam bentuk gaji dan elaun.

Paramalingam berkata, mengembalikan Ng ke jawatan lamanya adalah tidak wajar memandangkan keadaan dan fakta kes itu.

Peguam Shanker Subramaniam dan Juanita Louise Chua mewakili Ng, manakala Megat Abdul Munir dan Asyraf Abd Aziz mewakili syarikat itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.