Bukan keperluan mendesak, Ahli Parlimen kerajaan bantah PLKN 3.0

Bukan keperluan mendesak, Ahli Parlimen kerajaan bantah PLKN 3.0

Chow Yu Hui berkata peruntukan RM50 juta menghidupkan semula PLKN lebih baik disalurkan kepada sektor lebih kritikal seperti pendidikan dan kesihatan.

plkn
Chow Yu Hui menegaskan penyertaan dalam PLKN walaupun untuk dua bulan berpotensi memberi kesan besar terhadap kehidupan golongan belia. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Seorang Ahli Parlimen kerajaan membantah pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 yang disifatkannya bukan keperluan mendesak buat masa ini.

Chow Yu Hui (PH-Raub) berkata, peruntukan RM50 juta menerusi Belanjawan 2025 untuk menghidupkan semula PLKN lebih baik disalurkan kepada sektor-sektor kritikal seperti pendidikan, kesihatan dan pemerkasaan ekonomi rakyat.

“Sejak PLKN mula dilaksanakan dahulu, kita telah menyaksikan pelbagai isu yang timbul, baik dari aspek pelaksanaan, keberkesanan, mahupun kos yang terlibat.

“Saya berdiri hari ini dengan pendirian yang jelas, iaitu membantah cadangan melaksanakan semula PLKN,” katanya ketika perbahasan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, Chow mempersoalkan keberkesanan PLKN, yang dimulakan sejak 2004 sebelum dihentikan pada 2018, meskipun sepanjang tempoh tersebut sebanyak RM8.4 bilion telah dibelanjakan.

Beliau berkata, PLKN memerlukan peruntukan yang sangat besar dan negara masih berdepan masalah kewangan dalam keadaan ekonomi sekarang.

“Kita masih berada dalam proses pemulihan pascawabak, dengan kos sara hidup yang tinggi dan rakyat berdepan tekanan inflasi,” tambahnya.

Pada 26 Okt lepas, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata, PLKN 3.0 akan dilaksanakan secara berperingkat bermula Januari depan.

Katanya, program rintis itu melibatkan kira-kira 500 peserta di dua kem tentera, iaitu di Kuala Lumpur dan Pahang, sebelum diperluas ke 13 kem di seluruh negara menerusi pelaksanaan penuh pada 2026.

Beliau berkata, jumlah peserta PLKN 3.0 akan ditambah pada pengambilan Jun dengan menyasarkan individu berusia 16 hingga 35 tahun dalam kalangan pelajar Tingkatan Empat, lepasan SPM dan penuntut institusi pengajian tinggi.

Sementara itu, Chow turut mempersoalkan had umur belia yang berpotensi diserap mengikuti PLKN 3.0.

Katanya, kebanyakan golongan belia bawah usia 35 tahun sama ada masih belajar, sudah bekerja, atau sudah berkeluarga.

Beliau menegaskan penyertaan dalam PLKN, walaupun hanya untuk tempoh dua bulan, berpotensi memberi kesan besar terhadap kehidupan mereka.

“Tiada gaji untuk tempoh tersebut sedangkan ramai antara mereka perlu menanggung kos kehidupan seperti bayaran pinjaman rumah, kereta dan juga perbelanjaan untuk anak-anak,” katanya.

Sehubungan itu, Chow menyeru kerajaan agar menilai semula keperluan menghidupkan PLKN, sebaliknya mencadangkan kerajaan menumpukan pada inisiatif-inisiatif yang lebih berkesan dan berimpak tinggi, seperti program sukarelawan dan Rakan Muda.

“Saya percaya kita semua mahukan yang terbaik untuk generasi akan datang, tetapi biarlah ia dilakukan dengan bijak, berhikmah dan berdasarkan kajian serta keperluan sebenar masyarakat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.