Menipu mengaku peguam, lelaki mengaku tak salah

Menipu mengaku peguam, lelaki mengaku tak salah

Muhammad Syafiq Stewart Abdullah berdepan tiga pertuduhan perdaya dua mangsa dengan mengaku sebagai peguam bela dan peguam cara.

gavel
Tertuduh berusia 45 tahun dibenar ikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan sebutan semula kes pada 9 Dis. (Gambar fail)
SEREMBAN:
Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menipu dua individu dengan menyatakan dirinya sebagai peguam bela dan peguam cara yang sah, dalam kejadian antara 2021 dan 2022.

Muhammad Syafiq Stewart Abdullah, 45, membuat pengakuan itu selepas tiga pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Mazni Nawi.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memperdaya dua lelaki dengan menyatakan bahawa dirinya ialah peguam yang sah.

Pertuduhan pertama dan ketiga berkaitan mangsa yang sama dan berlaku pada 18 Nov 2021, manakala pertuduhan kedua melibatkan seorang lagi mangsa pada 2 Mac 2022. Semua kesalahan itu dilakukan di Kompleks Mahkamah Seremban.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 416 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Ashrof Kamarul memohon mahkamah mengenakan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, peguam Ahmad Zahid Abu Hashim yang mewakili tertuduh merayu jaminan direndahkan dengan alasan anak guamnya kini tidak mempunyai kerja tetap sejak tahun lalu dan hanya bekerja sebagai penceramah bebas dengan pendapatan rendah.

Beliau berkata, Syafiq juga perlu menyara isteri dan dua anak yang masih kecil selain menghidap penyakit darah tinggi.

Hakim memutuskan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 9 Dis ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.