Guna data tersedia untuk cepat kenal pasti T15, gesa Gerakan

Guna data tersedia untuk cepat kenal pasti T15, gesa Gerakan

Presiden Dominic Lau berkata pangkalan data yang tersedia seperti Padu dan Jabatan Perangkaan sudah mengandungi pelbagai maklumat mengenai pendapatan antara kaum.

Sebelum ini Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata kerajaan sedang memperhalusi pengelasan kategori T15 bagi memastikan penyasaran subsidi kerajaan adil kepada semua pihak.
PETALING JAYA:
Statistik dan data dalam Sistem Pangkalan Data Utama (Padu) selain maklumat daripada Jabatan Perangkaan serta Lembaga Hasil Dalam Negeri seharusnya digunakan untuk mengenal pasti kumpulan T15 dengan cepat, kata Gerakan.

Presiden Dominic Lau berkata pangkalan data yang tersedia sudah mengandungi pelbagai maklumat mengenai pendapatan antara kaum.

“Perdana menteri (Anwar Ibrahim) sepatutnya mengarahkan pegawai untuk meneliti data ini bagi mengenal pasti T15 dengan pantas, bukannya terus-menerus menuding jari kepada golongan kaya tanpa definisi yang jelas,” katanya dalam kenyataan.

Ketika membentangkan Belanjawan 2025, Anwar memaklumkan beberapa subsidi akan dikurangkan bagi golongan T15 termasuk pendidikan dan kesihatan selain penyasaran subsidi petrol.

Perkara itu mendapat perhatian pelbagai pihak yang meminta kerajaan meneliti semula pengelasan pendapatan isi rumah bagi mengelakkan keciciran pemberian bantuan serta subsidi petrol.

Dua hari selepas pengumuman itu, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata kerajaan sedang memperhalusi pengelasan kategori T15 bagi memastikan penyasaran subsidi kerajaan adil kepada semua pihak.

Katanya, kerajaan kini sedang beralih kepada satu konsep baharu perbelanjaan bersih sesebuah isi rumah agar mereka menjalani kehidupan yang wajar.

Dalam pada itu, Lau berpendapat dasar tersebut tidak patut keterlaluan dalam ‘menghasut kebencian terhadap golongan kaya’, kerana boleh menimbulkan kebimbangan kepada pelabur asing.

“Dahulu hanya ada T20, sekarang ada T15, adakah selepas ini akan muncul pula T10 dan T5?

“Rakyat menyokong kerajaan yang adil dalam pengagihan kekayaan, tegas melawan rasuah, dan memperjuangkan hak golongan bawah, bukan untuk mencetuskan kebencian antara golongan kaya dan miskin,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.