Dadah bernilai RM4.2 juta dirampas, 2 lelaki direman

Dadah bernilai RM4.2 juta dirampas, 2 lelaki direman

Dadah jenis syabu dan heroin seberat 145kg dirampas di sebuah kondominium dijadikan stor.

Pengarah JSJN Bukit Aman Khaw Kok Chin menunjukkan barangan rampasan antaranya dadah jenis syabu dan heroin dalam serbuan di Bandar Baru Seri Petaling, minggu lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Dadah jenis syabu dan heroin sebanyak 145kg dianggar bernilai RM4.2 juta dirampas di sebuah kondominium di Bandar Baru Seri Petaling, Kuala Lumpur.

Dalam operasi pada Rabu lalu, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Kuala Lumpur turut menahan dua suspek berusia 25 dan 21 tahun ditahan di hadapan lif kondominium itu, pada 3.30 petang.

Pengarah JSJN Bukit Aman Khaw Kok Chin, berkata susulan tangkapan itu, polis membawa kedua-dua suspek ke sebuah kediaman di kondominium terbabit yang dipercayai disewa sebagai stor penyimpanan dadah.

“Hasil pemeriksaan, kita menemui 155 bungkusan dengan 115 daripadanya berisi dadah disyaki syabu dan 40 lagi berisi dadah disyaki heroin.

“Keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan seberat 145kg dengan nilai rampasan dianggarkan RM4.18 juta,” katanya menurut Berita Harian pada sidang media di IPK Kuala Lumpur.

Khaw berkata, semakan mendapati kediaman terbabit disewa dengan harga RM1,500 sebulan sejak April lalu.

“Siasatan mendapati, suspek pertama yang berusia 25 tahun berperanan sebagai penjaga stor dadah dengan bayaran upah RM5,000 sebulan, manakala rakannya sebagai pembantu dan hanya menerima upah duit belanja harian daripada rakannya itu.

“Kita yakin sindiket ini aktif sejak April lalu dan buat masa ini kita masih menjalankan siasatan berhubung punca dadah diperolehi serta rangkaian sindiket ini,” katanya.

Sindiket itu dipercayai menggunakan kondominium kos rendah sebagai stor penyimpanan dadah sebelum diedarkan untuk pasaran sekitar Lembah Klang.

Khaw berkata, semakan lanjut mendapati suspek pertama mempunyai dua rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah selain ujian saringan urin menunjukkan suspek positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC).

Rakannya, tiada rekod lampau dan saringan urin negatif penggunaan dadah.

Kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula Khamis lalu hingga Rabu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.