Banyak perniagaan keluarga sukar pulang modal, kata kumpulan niaga

Banyak perniagaan keluarga sukar pulang modal, kata kumpulan niaga

Pemimpin kumpulan perniagaan kritik gesaan satu kesatuan supaya perusahaan tidak mampu bayar gaji minimum tutup operasi.

sop kilang
Gaji minimum baharu yang berkuat kuasa pada Februari 2025 dijangka secara tidak seimbang jejas perniagaan di negeri berpendapatan rendah, kata Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta).
KUALA LUMPUR:
Ketua kumpulan perniagaan menyifatkan kenyataan dikeluarkan kesatuan Sarawak “terlalu kasar” kerana menyeru perusahaan tidak mampu membayar gaji minimum RM1,700 menutup operasi sahaja.

William Ng, pengerusi perusahaan kecil dan sederhana Malaysia (Samenta) berkata, kenyataan dibuat Kesatuan Pekerja Bank Sarawak pada Rabu lalu sebagai angkuh.

“Kita mesti faham bahawa PKS termasuk banyak lagi perniagaan kecil diusahakan keluarga sukar untuk pulang modal. Janganlah kita keterlaluan sampai mahu mereka tidak mampu membayar lebih tutup operasi,” katanya kepada FMT.

“Kita sama-sama dalam hal ini, dalam semangat tripartisme – justeru, tidak perlu kepada ugutan dan keangkuhan,” kata Ng, yang sebelum ini memberi amaran peningkatan gaji minimum mampu menjejaskan PKS.

Kesatuan Sarawak itu juga mendakwa kumpulan seumpama PKS berkenaan sebagai “pencetus ketakutan dan retorik tidak bersangkut paut” berkait penutupan perniagaan meluas kesan peningkatan gaji minimum.

Ng bersetuju lebih banyak perlu dilakukan untuk menaikkan gaji rendah, namun berkata “peraturan sekata” seperti gaji minimum akan mengakibatkan pemampatan gaji kepada M40.

Katanya, ia juga menjejaskan perniagaan secara tidak seimbang di negeri berpendapatan rendah, termasuk Sabah dan Sarawak.

“Apabila gaji minimum ini dikuat kuasa dan menyebabkan kehilangan kerja, siapa yang akan bertanggungjawab,” katanya.

Bersatu gesa moratorium

Dalam pada itu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang akan melepaskan jawatan ketua Pemuda Bersatu, mengulangi gesaan dibuat Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin, agar ditangguhkan penguatkuasaan gaji minimum RM1,700, yang bakal bermula Februari 2025.

Beliau mendakwa, komuniti perniagaan Melayu juga menentang cadangan gaji minimum dibuat kerajaan.

“Kami menggesa kerajaan menanggug pelaksanaan sekurang-kurangnya setahun moratorium. Biar lebih banyak perundingan antara PKS dan kerajaan,” katanya pada satu forum pada Khamis.

Tambahnya, dasar tersebut mesti jelas berdasarkan sektor, berbanding penguatkuasaan secara menyeluruh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.