Polis siasat penganjur himpunan kibar Jalur Gemilang

Polis siasat penganjur himpunan kibar Jalur Gemilang

Ketua Polis Perak Azizi Mat Aris berkata tiada permohonan permit dibuat oleh penganjur perhimpunan di Dataran Menara Condong, Teluk Intan itu.

Lebih 300 individu menyertai perhimpunan kibar Jalur Gemilang, dipercayai sebagai tindak balas terhadap insiden bendera China dikibarkan di lokasi sama, Khamis lalu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Polis membuka kertas siasatan berhubung perhimpunan kibar Jalur Gemilang disertai lebih 300 individu di Dataran Menara Condong, Teluk Intan, semalam kerana tiada permohonan permit dibuat penganjur.

Ketua Polis Perak, Azizi Mat Aris berkata, acara anjuran gabungan badan bukan kerajaan (NGO) itu turut dihadiri pimpinan PAS Perak serta penduduk setempat.

“Semakan mendapati penganjur tidak menghantar pemakluman kepada pihak polis bagi mengadakan perhimpunan.

“Siasatan awal juga mendapati Pesuruhjaya PAS Negeri Razman Zakaria memberi ucapan di hadapan kumpulan itu.

“Pihak yang terlibat akan dipanggil untuk dirakam percakapan bagi siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

Terdahulu, media melaporkan himpunan itu dihadiri lebih 300 individu yang turut mengibarkan Jalur Gemilang.

Kehadiran peserta itu dipercayai sebagai tindak balas terhadap insiden bendera China dikibarkan oleh peserta Sambutan Guan Gong Sedunia di lokasi sama, Khamis lalu.

Acara yang berlangsung selama sejam 30 minit itu kemudiannya berakhir dengan bacaan doa Wehdah dan Qunut Nazilah.

Anggota polis dan pasukan penguat kuasa Majlis Perbandaran Teluk Intan turut berada di lokasi untuk mengawal keadaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.