Polis siasat syarikat seleweng dana latihan juruterbang RM2.4 juta

Polis siasat syarikat seleweng dana latihan juruterbang RM2.4 juta

Siasatan itu susulan laporan polis dibuat Mara.

DATUK SERI RAMLI MOHAMED YOOSUF
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Ramli Mohamed Yoosuf berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis menyiasat sebuah syarikat milik warga tempatan yang didakwa menyeleweng wang program latihan penerbangan bernilai jutaan ringgit sepatutnya dibayar kepada sebuah akademi penerbangan di luar negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Ramli Mohamed Yoosuf, berkata siasatan itu susulan laporan dibuat oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara).

“Nilai kerugian dianggarkan berjumlah RM2.4 juta. Sepuluh laporan polis lain juga diterima daripada pihak pelatih yang terjejas ekoran penyelewengan tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan memaklumkan pegawainya dalam tindakan untuk menyempurnakan beberapa arahan yang diberikan timbalan pendakwa raya bagi melengkapkan siasatan.

Semalam, Pengerusi Mara Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan tindakan undang-undang membabitkan isu penyelewengan dana latihan juruterbang bernilai jutaan ringgit terhadap sebuah syarikat tempatan sedang dibicarakan di mahkamah.

Asyraf berkata, sebelum ini Mara sudah membayar sejumlah RM2.4 juta untuk pembiayaan 39 pelajarnya kepada syarikat itu yang bertindak menguruskan program latihan kadet juruterbang di Republik Czech.

Bagaimanapun, beliau berkata syarikat itu gagal menunaikan tanggungjawab berkenaan menyebabkan Mara mengeluarkan tambahan kos untuk membayar lesen juruterbang komersial (CPL) terus kepada Pusat Latihan Penerbangan Czech (CATC) di Republik Czech bagi mengelak pembelajaran pelajar tajaannya terjejas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.