
Ketua Polis Perak, Azizi Mat Aris, berkata perarakan berunsurkan keagamaan membabitkan kereta berhias itu berlangsung dari 8 malam hingga 11.30 malam semalam disertai kira-kira 400 penonton.
“Pihak penganjur telah dipanggil untuk rakaman keterangan dan akan diminta mengemukakan semua peserta warga asing yang disyaki berasal dari China untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan.
Azizi berkata, kes itu diklasifikasikan bawah Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana mengadakan perarakan tanpa permit polis dan Seksyen 3 (1) Akta Lambang Kebangsaan 1949 kerana mempamerkan lambang kebangsaan negara asing di tempat awam.
Terdahulu, Pengerusi Persatuan Kebudayaan Guan Gong Soon Boon Hua yang juga penganjur perhimpunan memohon maaf dan mendakwa tindakan itu suatu yang tidak dirancang.
Katanya, insiden mengibar bendera China dilakukan oleh rombongan rakyat dari negara itu dalam sambutan Guan Gong Sedunia di Teluk Intan, semalam.
Sementara itu, Azizi mengingatkan semua pihak tidak terlibat perhimpunan haram yang boleh menimbulkan kacau ganggu dan menggugat ketenteraman awam.
Beliau berkata, individu yang didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bawah peruntukan Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012.
“Pihak yang ingin menganjurkan perhimpunan perlu menghantar permohonan kepada polis dalam tempoh 10 hari sebelum tarikh perhimpunan mengikut peruntukan Akta Perhimpunan Aman 2012,” katanya.