
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata menerusi Belanjawan 2025, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menaikkan peruntukan kepada RM13 bilion untuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (Sara).

Katanya, peningkatan sebanyak RM3 bilion itu dijangka ditampung hasil penjimatan penyasaran subsidi bahan bakar, selain disalurkan untuk perbelanjaan seperti kesihatan serta kebajikan sosial.
“Kita dapat lihat penerima Sara dijangka meningkat secara signifikan daripada 700,000 orang tahun ini kepada 4.1 juta tahun depan.
“Justeru, ruang dasar fiskal luas hasil rasionalisasi subsidi telah dimanfaatkan dengan menambah bantuan tunai, ini langkah mitigasi untuk kurangkan kesan,” katanya kepada FMT.
Afzanizam berkata, kerajaan perlu melaksanakan penyasaran subsidi RON95 di sebalik gesaan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin supaya ia dipertimbang semula kerana bimbang bakal berlaku kenaikan harga.

Menurutnya, walaupun inflasi dijangka meningkat kepada 2% hingga 3.5% tahun depan, kadar itu masih terkawal selain kesannya dikurangkan menerusi langkah mitigasi.
“Tindakan itu juga (penyasaran subsidi RON95) buka ruang kerajaan berbelanja perkara tepat, subsidi bahan api secara pukal itu hanya menguntungkan golongan pendapatan tinggi,” katanya.
Ahmed Razman Abdul Latiff dari Putra Business School pula berkata, penyasaran subsidi petrol RON95 perlu dibuat bagi menangani masalah ketirisan seperti penyeludupan minyak.
“Penjimatan subsidi itu memang (akan) dapat (kembali) kepada rakyat.
“Penyasaran subsidi diesel dapat jimat RM4 bilion, ia dapat tampung RM13 bilion untuk STR dan SARA yang tahun ini memperuntukkan RM10 bilion,” katanya.