
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Aiman Athirah Sabu, berkata ia termasuk 348 projek mendapat Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).
Menurutnya, sebanyak 17 projek berstatus lewat kembali lancar, manakala enam projek terbengkalai dipulihkan melalui kaedah penyiapan projek sehingga memperoleh CCC, Sijil Kelayakan Menduduki (CFO) dan kaedah penyelesaian pembeli.
Beliau berkata sebanyak 25 projek melibatkan 4,813 unit rumah berjaya dipulihkan bermula awal September hingga 30 September lalu dengan nilai GDV RM18.08 bilion.
“Antara pencapaian TFST pada bulan ini adalah pengurangan daripada 114 projek terbengkalai melibatkan projek perumahan Taman Sri Embun 1, Kuala Terengganu sehingga memperoleh CCC seterusnya dikeluarkan daripada senarai projek terbengkalai,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini, menurut Berita Harian.
Setakat akhir September lalu, task force itu mengesan dan memantau 303 projek lewat, 379 projek sakit dan 113 projek terbengkalai.
Selain itu, Aiman Athirah yang juga pengerusi TFST berkata lawatan tapak dan pemantauan rapi kementeriannya adalah langkah penting bagi memastikan kemajuan projek terus dipantau dengan lebih teliti.
Katanya, beliau setakat akhir September lalu sudah melawat 33 projek perumahan di mana lapan daripadanya telah berjaya memperoleh CCC.
“KPKT mengalu-alukan kerjasama daripada jabatan, agensi dan badan berkanun yang berminat untuk bersama-sama dalam usaha memulihkan projek perumahan swasta terbengkalai.
“Kementerian juga sedang mempertimbang untuk melanjutkan pelantikan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP), Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dan Indah Water Konsortium Sdn Bhd bagi mempercepatkan 113 projek perumahan terbengkalai yang telah dikenal pasti,” katanya.