Riza, Jho Low sahabat baik, kata Jasmine Loo

Riza, Jho Low sahabat baik, kata Jasmine Loo

Bekas peguam 1MDB Jasmine Loo bagaimanapun berkata walaupun dia dan anak tiri Najib Razak bertemu beberapa kali mereka hanya kenalan.

Jasmine Loo berkata dia bertemu beberapa kali dengan Riza Aziz ketika mengembara bersama Jho Low.
KUALA LUMPUR:
Seorang saksi berkata, ahli perniagaan dalam buruan Jho Low dan anak tiri Najib Razak, Riza Aziz, bersahabat baik, menurut pemerhatiannya ketika lawatan ski ke Kanada.

Bekas peguam am 1MDB Jasmine Loo, 51, memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, dia pertama kali bertemu Riza bersama Low dan keluarganya di Whistler, Kanada, pada akhir Disember 2012 atau awal Januari 2013.

Dalam pernyataan saksinya, Loo berkata, dia menyertai 1MDB pada Mei 2011 dan meninggalkannya pada November 2013.

“Selepas saya meninggalkan 1MDB, saya bertemu dan berkenalan dengannya (Riza) ketika saya mengembara bersama Low,” katanya menambah, mereka hanya kenalan.

Loo berkata demikian ketika memberi keterangan dalam saman oleh 1MDB dan anak syarikatnya – 1MDB Energy Holdings Ltd, 1MDB Energy Ltd dan 1MDB Energy (Langat) Ltd – terhadap Riza kerana menyeleweng dana berjumlah USD148 juta.

Saman itu juga menamakan Red Granite Pictures Incorporated (RGP) dan Red Granite Capital Ltd (RGC), dua entiti yang mempunyai kaitan dengan Riza, sebagai defendan.

Ketika diperiksa balas oleh peguam mewakili defendan, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin, Loo berkata, berdasarkan pemerhatiannya sepanjang lawatan ski itu, Riza dan Low kelihatan bersahabat baik.

Wan Azwan: Adakah itu juga menjadikan kamu sahabat baik Low?

Loo: Saya tidak menafikan perkara itu.

Loo mengesahkan dia didakwa bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan pada 2018, yang kesnya masih disiasat pihak berkuasa.

“Saya didakwa secara ‘in absentia’,” kata Loo, yang pulang ke tanah air tahun lepas.

Pada ketika ini, peguam 1MDB, Rabindra Nathan, membantah pertanyaan-pertanyaan ini kerana ia tidak mempunyai kaitan dengan kes.

Bagaimanapun, Shafee Abdullah, juga selaku peguam mewakili defendan berkata, Loo membabitkan dirinya sendiri apabila memberi keterangan dalam perbicaraan jenayah 1MDB Najib yang sedang berlangsung.

“Dia masih bersubahat dengan Low. Didedahkan dalam perbicaraan jenayah itu bahawa Low menyeludupnya ke Myanmar kemudian bertemu dengannya di China,” katanya.

Pesuruhjaya Kehakiman Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan membenarkan peguam bela meneruskan pertanyaan mereka.

Loo berkata, dia tidak tahu tentang pemindahan USD10 juta dana 1MDB kepada RGP atau satu lagi kiriman wang berjumlah USD138 juta kepada RGC.

Dalam pernyataan pembukaannya, 1MDB berkata, dana itu disalur keluar daripada 1MDB melalui dua syarikat yang dikaitkan dengan Low.

Plaintif mendakwa wang tersebut diseleweng bagi tujuan perjudian, untuk membiayai filem yang diterbitkan oleh RGP, dan membeli hartanah dan memorabilia filem.

1MDB mendakwa Riza, yang mempunyai kawalan ke atas dua syarikat Red Granite, yang menghasilkan filem Hollywood The Wolf of Wall Street’, tahu atau sepatutnya tahu bahawa dana itu telah diseleweng dan digunakan untuk kepentingan mereka atau rakan sekutu mereka.

Plaintif memohon deklarasi bahawa defendan-defendan harus menanggung rugi dana yang diseleweng daripada 1MDB, atau agar dana yang diseleweng dibayar balik.

Di luar mahkamah, Shafee berkata, Riza tidak akan memberi keterangan dalam perbicaraan ini, walaupun dia defendan pertama.

Perbicaraan bersambung Isnin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.