
Beliau yang juga jurucakap kerajaan perpaduan berkata, penggubalan akta itu adalah satu bentuk peralihan daripada sistem hukuman kepada sistem keadilan pemulihan.
“Baru-baru ini dalam mesyuarat Majlis Sosial Negara dipengerusikan timbalan perdana menteri (Zahid Hamidi), menteri dalam negeri (Saifuddin Nasution Ismail) telah memberikan konteks secara menyeluruh dalam perbincangan mengenai tindakan atau mewujudkan satu akta baharu berkaitan tahanan di rumah.
“Ia bermula awal tahun lepas, dalam konteks apa yang disebut sebagai peralihan pandangan kerajaan daripada ‘punitive’ (hukuman) kepada ‘restorative justice’ (keadilan pemulihan), di mana konsep keadilan adalah untuk mengembalikan seseorang individu yang telah didapati bersalah kembali ke komuniti,” katanya pada sidang media mingguan selepas mesyuarat Jemaah Menteri.
Berkongsi data kajian projek rintis berkaitan tahanan di rumah yang dilaksanakan sepanjang tahun lalu melibatkan 5,000 banduan, Fahmi berkata ia merekodkan kadar residivisme (kembali melakukan kesalahan) menurun kira-kira 15%.
Susulan itu, Fahmi berkata projek rintis berkenaan boleh diperluaskan kerana ketika ini terdapat 82,000 tahanan di penjara, yang didapati melebihi kapasiti sedia ada iaitu 74,000 tahanan.
Beliau berkata, langkah itu akan membantu Jabatan Penjara menjimatkan kos pengurusan sebanyak RM19 juta.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 pada 18 Okt lalu dilaporkan berkata kerajaan akan menggubal akta baharu bagi membolehkan hukuman tahanan di rumah sebagai alternatif untuk kesalahan tertentu.
Mengikut peruntukan akta itu, pesalah dikehendaki berada di tempat dianggap bersesuaian seperti kediaman, rumah jagaan atau asrama pekerja sepanjang tempoh penahanan.
Saifuddin pula dilaporkan berkata, akta berkaitan hukuman tahanan di rumah itu akan dibentangkan tahun depan dan Kabinet memberikan kelulusan dasar untuk pelaksanaan.
Beliau berkata, ia menyasarkan kira-kira 20,000 pesalah kategori tertentu, antaranya pesalah pertama yang tidak melakukan kesalahan berat, wanita mengandung, warga emas, dan orang kurang upaya (OKU), yang layak dipertimbangkan selepas mereka menjalani proses tapisan.