
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, kecuali Melaka, bahagian parti itu di negeri lain ‘semuanya okey’.
“Hanya di Melaka sahaja agak tegang tapi kalau adapun, ketegangan bagi saya itu biasa dalam parti politik
“Dan kita uruskan secara dalaman, tidaklah sampai kita terpaksa uar-uarkan di luar parti,” kata ketua Pemuda Bersatu kepada FMT selepas sebuah forum.
Pada Rabu, Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berkata, masalah dikesan timbul di Melaka sejak Julai susulan pendedahan ‘formula’ Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin untuk pemilihan parti.
Menurut formula itu, Muhyiddin akan kekal menerajui Bersatu manakala Setiausaha Agung Hamzah Zainudin mengambil alih jawatan timbalan presiden daripada Ahmad Faizal Azumu, antara lainnya.
Azmi berkata, dengan formula itu, akar umbi Bersatu tidak diberi peluang menentukan siapa yang mereka mahukan untuk lima jawatan tertinggi parti.
Isnin lalu, FMT melaporkan Ketua Bersatu Melaka Dr Yadzil Yaakub didesak meletak jawatan dan Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin dicadang menggantikannya selepas bahagian Jasin yang diketuainya digantung minggu lalu.
Wan Fayhsal turut menolak cadangan konon parti itu tidak stabil susulan krisis di Melaka, dan menegaskan ia hanya terhad kepada pengurusan bahagian Jasin.
Beliau berkata, berdasarkan siasat dan selidik aduan, parti mendapati ‘kedua-dua belah pihak’ bermasalah.
“Atas dasar itulah sebenarnya bahagian Jasin ini digantung sementara,” katanya.
“Kita bukan halang mereka bertanding (pada pemilihan parti), tetapi kita perlu selesaikan kekecohan, jelaskan sebarang salah faham dan selesai sebarang masalah yang boleh jejaskan keseluruhan proses pemilihan Bersatu.”