‘Kesian kawan kami’, wakil rakyat PAS minta Guan Eng perjelas maksud ‘Umno kurang sikit’

‘Kesian kawan kami’, wakil rakyat PAS minta Guan Eng perjelas maksud ‘Umno kurang sikit’

Kelmarin, Lim Guan Eng berterima kasih kepada menteri kerajaan perpaduan yang turun bantu di Pulau Pinang namun secara sinis berkata 'menteri Umno kurang bantu sikit'.

Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari berkata Pengerusi DAP Lim Guan Eng tidak wajar mempersenda Umno secara terbuka.
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen PAS secara sinis bersimpati dengan menteri Umno, yang didakwa kurang membantu di Pulau Pinang khususnya Parlimen Bagan diwakili Pengerusi DAP Lim Guan Eng.

Mengulas dakwaan bekas ketua menteri Pulau Pinang itu, Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari berkata Lim tidak sepatutnya membangkitkan perkara itu secara terbuka di ruang perbahasan Dewan Rakyat.

“Saya pun tertanya-tanya apakah yang dimaksudkan bahawa menteri Umno kurang sikit membantu.

“Kalau nak kata kepada Umno pun janganlah disebut terang-terang dalam dewan YB (Lim), kesian kat kawan-kawan kami dalam Umno,” katanya dalam satu klip video dimuat naik di Facebook.

Dalam perbahasan Belanjawan 2025 kelmarin, Lim berterima kasih kepada barisan menteri kerajaan perpaduan yang turun membantu di Pulau Pinang dan kawasan Parlimennya, namun secara sinis berkata ‘menteri Umno kurang bantu sikit’.

“Terima kasih kepada menteri-menteri yang telah menolong bukan negeri saya sahaja, Pulau Pinang tetapi juga kawasan Parlimen saya.

“Bermula dengan perdana menteri (Anwar Ibrahim), menteri-menteri DAP tentulah, dan juga menteri dari GPS, GRS dan UPKO, dan menteri ekonomi (Rafizi Ramli) juga.

“Kecuali Umno kurang sikit, mungkin masa depan boleh tambah banyak…kita harapkan begitu,” katanya di Dewan Rakyat.

Fadhli berkata, pemimpin DAP itu tidak wajar mempersenda Umno secara terbuka, ketika parti Melayu tersebut telah ‘berkorban’ bekerjasama dengan DAP untuk bersama dalam kerajaan perpaduan.

“Jadi tak perlulah malukan mereka secara terang-terangan….kalau saya jadi Umno saya takkan biarkan orang kata kat kita terang-terang macam ini.

“Tak tahulah kawan-kawan dalam Umno tinggi kesabaran mereka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.