
Menterinya, Gobind Singh Deo, berkata suruhanjaya itu akan menyelia pembangunan ekosistem data yang selamat, terjamin, dan dipercayai bagi memupuk aliran data produktif.
“Saya telah mengadakan beberapa perbincangan dengan pemain-pemain industri tertentu dan kami mencadangkan untuk menubuhkan jawatankuasa data sementara. Saya akan mengadakan pertemuan dengan mereka pada Isnin dan jawatankuasa ini akan mencadangkan struktur suruhanjaya itu.
“Mudah-mudahan dalam tempoh tiga bulan akan datang, kita akan mendapat input tentang bagaimana suruhanjaya ini sepatutnya. Setelah itu, kami akan menyediakan kertas Kabinet (mengenainya) dan membawa cadangan itu kepada Kabinet tahun depan,” katanya selepas melancarkan Sidang Kemuncak Malaysia Digital Xceleration (MDX) 2024.
Kementerian berharap suruhanjaya itu akan meletakkan asas kukuh penggunaan teknologi bertanggungjawab dan produktif pada masa kini dan masa hadapan.
Sementara itu, Gobind turut menyatakan Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (Naio) akan dilancarkan pada pertengahan Disember 2024.
“Kami akan memberikan butiran mengenai tarikh pengumumannya. Pada masa ini masih banyak kerja sedang dilakukan.”
“Kami telah mengiklankan beberapa jawatan penting dalam agensi itu. Terdapat banyak minat yang ditunjukkan. Jadi sekarang persoalannya adalah, bagaimana ia akan distrukturkan? Kami sedang mengusahakannya,” kata Gobind.