
Pengerusi Kebangsaan DAP Gobind Singh Deo bagaimanapun enggan mengulas lanjut soal rombakan Kabinet, sebaliknya menyerahkan kepada Anwar untuk menentukannya.
“Itu (soal rombakan kabinet) anda perlu bertanya kepada perdana menteri untuk mengulas lanjut kerana ia adalah bidang kuasa beliau. terpulang kepada beliau untuk membuat keputusan.
“Jadi, marilah kita serahkan kepada beliau untuk mengumumkannya sekiranya ada rombakan kabinet.
“Kami sentiasa bersedia. Ia bergantung kepada kebijaksanaan Perdana Menteri. Perdana Menteri yang akan membuat keputusan muktamad dan beliau akan memutuskan apa yang terbaik untuk negara dari segi siapa yang harus mengetuai portfolio mana, tetapi itu adalah sesuatu yang akan diputuskannya sendiri,” kata menteri digital itu pada sidang media selepas perasmian Konvensyen Tahunan DAP Wilayah Persekutuan, di sini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada DAP, termasuk dirinya bersedia jika dipindahkan ke kementerian lain susulan khabar angin akan berlakunya rombakan Kabinet.
Spekulasi itu timbul selepas Menteri Pendidikan Tinggi, Zambry Abdul Kadir memberi bayangan ia akan berlaku dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi.
Anwar bagaimanapun terus mengunci mulut berhubung spekulasi yang bertiup kencang itu.
Dalam perkembangan lain, Gobind berkata DAP juga bersedia jika PRU16 diadakan lebih awal daripada tarikh tamat penggal.
Menurutnya, parti itu sentiasa fokus untuk memastikan mereka sentiasa mempersiapkan diri dalam menghadapi pilihan raya.
“Pendirian kami sentiasa bersedia sekiranya pilihan raya diadakan. Kami sentiasa bekerja keras di lapangan dan juga dalam kerajaan, dan saya rasa itu penting.
“Kami adalah sebuah parti yang sentiasa fokus pada apa yang perlu dilakukan supaya apabila ada panggilan pilihan raya, kami bersedia untuk itu,” katanya.
Mengulas PRN Sabah, Gobind yang juga Ahli Parlimen Damansara berkata kemenangan Pakatan Harapan (PH) penting sebagai penanda aras penerimaan rakyat terhadap kerajaan di Putrajaya.
“Kita perlu bekerja keras. Kita telah pun menunjukkan bahawa calon-calon kita adalah calon-calon yang bekerja keras untuk rakyat.
DAP bertanding di lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Sabah pada 29 Nov ini.